LINDUNG 24 Jam: Penerima pertama faedah orang tanggungan di Pulau Pinang

LINDUNG 24 Jam: Penerima pertama faedah orang tanggungan di Pulau Pinang


Georgetown: Waris seorang operator kilang di Pulau Pinang menjadi penerima pertama Faedah Orang Tanggungan (FOT), di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau LINDUNG 24 Jam yang mula dikuatkuasakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada 1 Jun.

Perkeso dalam kenyataan hari ini memaklumkan Muhammad Hafizi Muhammad Rizal, 22, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Merbok, Kedah pada 12 Jun lepas ketika dalam perjalanan ke rumah rakannya selepas selesai bekerja di Sungai Petani.

“Hasil semakan mendapati Allahyarham Muhammad Hafizi merupakan pencarum aktif yang layak menerima perlindungan di bawah LINDUNG 24 Jam, walaupun kemalangan itu berlaku di luar waktu bekerja dan tiada kaitan dengan tugas hakikinya.

“Jika mengikut peraturan sebelum 1 Jun, Allahyarham tidak layak menerima faedah kerana kemalangan berlaku di luar waktu kerja namun, pelaksanaan LINDUNG 24 Jam membolehkan warisnya menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM3,000 secara sekali bayar, serta Faedah Orang Tanggungan bulanan berjumlah RM378,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan Perkeso itu memaklumkan bahawa faedah bulanan tersebut, akan dibayar kepada kedua-dua ibu bapa Muhammad Hafizi sepanjang hayat mereka, manakala empat adiknya yang berusia bawah 21 tahun akan menerima bayaran sehingga mencapai umur berkenaan.

Menurut kenyataan itu kes tersebut, membuktikan kepentingan perluasan perlindungan keselamatan sosial menerusi LINDUNG 24 Jam, yang melindungi pencarum daripada musibah di luar waktu bekerja.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Perkeso memaklumkan bahawa dua lagi pencarum di Pulau Pinang turut menerima manfaat LINDUNG 24 Jam, selepas mengalami kecederaan ketika berada di rumah iaitu kes pertama melibatkan Mohamad Zain Kia, 33, yang patah pergelangan tangan selepas terjatuh dari tangga, ketika memotong dahan pokok rambutan di kediamannya di Bayan Baru pada 13 Jun lepas.

“Beliau diberikan cuti sakit sehingga 13 Julai dan layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) berjumlah RM540, dengan PERKESO telah menyalurkan bayaran awal sebanyak RM288 bagi tempoh cuti sakit dari 14 hingga 29 Jun, selain meluluskan kemudahan implan bernilai RM1,000.

“Kes kedua pula membabitkan Tan Pai Fen, 49, yang mengalami melecur sebanyak 10 peratus pada bahagian bawah badan, selepas terkena air panas di rumahnya di George Town pada 3 Jun lepas dan diberikan cuti sakit dari 3 Jun hingga 8 Julai, serta telah menerima bayaran FHUS sebanyak RM540 bagi tempoh 36 hari pertama dengan bayaran penggantian pendapatan akan diteruskan mengikut kelayakan sehingga tempoh cuti sakit tamat,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan Perkso itu, kes-kes tersebut menggambarkan bahawa kemalangan di luar waktu bekerja boleh berlaku pada bila-bila masa, termasuk ketika menjalankan urusan peribadi atau rutin harian di rumah, sekali gus menonjolkan kepentingan perlindungan yang disediakan menerusi LINDUNG 24 Jam.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top