Sasar atasi pencapaian Birmingham, skuad boling padang negara semakin yakin di Glasgow

Sasar atasi pencapaian Birmingham, skuad boling padang negara semakin yakin di Glasgow


sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad boling padang negara berada di landasan tepat untuk mengatasi pencapaian satu perak dan satu gangsa yang diraih pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 selepas mempamerkan aksi cemerlang di Glasgow.

Selepas tamat saingan hari ini, gandingan Aleena Ahmad Nawawi dan Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman mengungguli Seksyen D acara beregu wanita dengan empat kemenangan daripada empat perlawanan, manakala Izzat Shameer Dzulkeple turut mengekalkan rekod sempurna dalam acara perseorangan lelaki.

Dengan pemain nombor satu dunia acara perseorangan wanita, Emma Firyana Saroji yang juga sandaran utama emas negara masih belum memulakan kempen minggu ini, skuad bol padang negara berada pada kedudukan terbaik untuk melepasi sasaran dua pingat merangkumi acara bol padang dan para boling padang.

“Kami sentiasa menyasarkan untuk mara ke peringkat seterusnya dalam setiap kejohanan besar. Kami sedar Australia, Scotland dan England adalah kuasa besar dalam boling padang, tetapi kami sentiasa berusaha untuk menewaskan mereka,” kata Aleena kepada laman rasmi Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Aleena dan Syafiqa menghidupkan peluang ke separuh akhir selepas menewaskan wakil tuan rumah Scotland, Caroline Brown dan Beth Riva 2-0 (5-3, 5-1), sekali gus menamatkan harapan pasangan itu untuk mara.

“Saya berasa sangat gementar dan skip saya (Syafiqa) juga begitu kerana penyokong tuan rumah sangat lantang memberikan sokongan.

“Namun saya benar-benar menikmati perlawanan itu kerana kami dapat membuktikan Malaysia juga memiliki pemain boling padang yang berkualiti,” katanya.

Gandingan negara akan menentang pasangan Norfolk Island, Ellie Dixon dan Christine Jones dalam aksi terakhir kumpulan yang dijadual berlangsung hari ini pada jam 7.45 malam waktu Malaysia, dengan pemenang akan mengesahkan tempat ke separuh akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top