am@hmetro.com.my
Besut: Seorang buruh dipenjara enam tahun dan mengenakan satu sebatan oleh Mahkamah Besut di sini, hari ini kerana melakukan samun serta mencabul seorang wanita warga asing.
Tertuduh, Muhammad Ayub Firdaus Mohd Nor, 29, mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Fadhli Mahmud.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan terhadap seorang wanita warga asing dengan mengambil harta milik mangsa.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan semak berdekatan Bukit Bubus, pada jam 1.30 petang, 25 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan bagi kesalahan samun.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Akmal Mohd Jazlee.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh mengaku salah kerana melakukan kekerasan terhadap mangsa yang sama dengan niat mencabul.
Tertuduh mengaku salah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurliyana Md Zukri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan niat mencabul kehormatannya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan semak berdekatan Bukit Bubus, pada jam 1.30 petang, 25 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan mencabul.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Najah Azhar.
© New Straits Times Press (M) Bhd






