IPOH: Emosi keluarga dua pelajar perempuan berumur 14 tahun yang ditemukan maut di Flat Sungai Pari, Buntong di sini pada Jumaat lalu dipercayai terjatuh dari tingkat atas bangunan tersebut dalam keadaan terkawal.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, beliau menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut kerana kes masih berjalan.
Menurutnya, berdasarkan portfolio (tugasnya) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyantuni keluarga dua pelajar perempuan tersebut.
“Kita melihat dari segi kesan psikologi keluarga. Mana-mana keluarga pun tidak mudah untuk menerima sekiranya ada anggota keluarga yang meninggal dunia atau mati mengejut.
“Ia bukanlah satu perkara yang boleh semuanya (keluarga) terima. JKM telah turun menyantuni keluarga dan kita melihat mereka dalam keadaan terkawal,” katanya kepada pemberita di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau berucap sebelum merasmilan Hari Terbuka Prismanita & Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) Perak 2026.
Katanya, tiada keperluan waris kepada kedua-dua pelajar perempuan itu menjalani sesi kaunseling secara berterusan.
Berhubung kes keganasan rumah tangga melibatkan wanita, Salbiah memaklumkan, negeri Perak merekodkan 1,116 kes pada tahun 2025 manakala 405 kes telah dilaporkan sehingga Jun tahun ini.
“Maknanya, kalau ikut separuh tahun itu tidaklah melepasi data lepas (tahun lalu). Mungkin semakin menurun. Haraplah.
“Daripada data yang diberikan nampak masih agak terkawal. Kebanyakan kes melibatkan ekonomi keluarga,” katanya.
Media melaporkan pada Jumaat minggu lalu, dua pelajar perempuan berumur 14 tahun ditemukan maut di kawasan perumahan kosong di sebuah flat di Sungai Pari, Buntong di sini.
Mayat dua pelajar sebuah sekolah menengah, di sini ditemukan oleh seorang pengawal keselamatan ketika melakukan rondaan di kawasan flat berkenaan.
Difahamkan, kedua-dua mangsa yang dipercayai terjatuh dari tingkat atas bangunan itu merupakan rakan baik dan bersekolah pada sesi petang. – UTUSAN






