JEMPOL: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 bukan ditentukan oleh ramalan politik atau tilikan mana-mana pihak, sebaliknya bergantung kepada keputusan pengundi pada 1 Ogos ini.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, hanya pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka mampu menentukan kemenangan mana-mana calon atau parti.
“Yang akan memenangkan mana-mana calon atau mana-mana parti akhirnya ialah pengundi yang keluar mengundi.
“Bukan kajian, bukan para nujum, bukan apa-apa ramalan, tetapi pengundi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program kempen bersama calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G. Manivanan di Felda Bukit Rokan Barat, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian sebagai mengulas ramalan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming yang menjangkakan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berupaya memenangi 25 kerusi pada PRN Negeri Sembilan kali ini.
Menurutnya, pandangan berkenaan dilihat sebagai cabaran kepada calon PH untuk terus mempergiat usaha mendekati pengundi, khususnya kumpulan atas pagar.
“Kita melihat kenyataan individu seperti Ong Kian Ming ini sebagai cabaran kepada calon-calon kita untuk terus menyantuni dan meyakinkan pengundi, terutama pengundi atas pagar supaya memberikan sokongan kepada PH.
“Berdasarkan sambutan di lapangan, kita melihat momentum kempen semakin positif menjelang hari pengundian dan yakin pengundi akan membuat keputusan berdasarkan prestasi pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata, pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun membuktikan prestasi yang baik sepanjang menerajui kerajaan negeri selain tidak dikaitkan dengan sebarang skandal penyelewengan atau salah guna wang rakyat.
Katanya, Aminuddin atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Min’ kekal tenang berdepan kritikan sepanjang tempoh kempen dan terus memberi tumpuan kepada tugas serta perkhidmatan kepada rakyat.
“Meskipun ada kenyataan yang agak keras terhadap beliau, beliau tetap terus bekerja dan meneruskan kempen,” katanya.-UTUSAN






