ATLET boling padang negara, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman menyifatkan pingat perak acara pairs wanita pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 sebagai hadiah paling bermakna kerana diraih ketika sedang hamil anak pertamanya.
Syafiqa, yang bergandingan dengan Aleena Ahmad Nawawi berkata, perjalanan mereka ke pentas final bukan mudah, namun sokongan keluarga dan kehadiran cahaya mata yang dikandung menjadi sumber kekuatan sepanjang kempen di Glasgow.
“Ini (perak) hadiah yang sangat bermakna sebab kali ini saya ada sokongan paling kuat. Perjalanan ini bukan mudah untuk sampai dapat perak. Jadi syukur alhamdulillah. Rezeki ini, rezeki anak (dalam kandungan),” katanya ketika ditemui Bernama selepas aksi penentuan pingat emas di Scottish Event Campus (SEC), di sini hari ini.
Syafiqa berkata, barisan kejurulatihan mengetahui mengenai kandungannya yang sudah memasuki lima bulan, sejak awal dan sentiasa memantau keadaannya sepanjang tempoh persiapan dan pertandingan.
Menurut atlet berusia 32 tahun itu, beliau mengetahui mengenai kandungannya ketika proses pemilihan ke Sukan Komanwel, namun perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk mengejar impian bersama Aleena.
“Kalau ikutkan jurulatih saya dah tahu dari awal, cuma kali ini rezeki saya jugalah, saya tak ada alahan. Walaupun sudah bawa perut, tapi saya bermain macam biasa,” katanya.
Beliau turut mendedikasikan pingat berkenaan kepada suaminya, Nizam Yusof yang memberikan keizinan untuk beliau terus beraksi, selain keluarga, barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan.
Sebagai rekod, atlet menembak negara Nur Suryani Mohamed Taibi pernah mencuri perhatian dunia apabila beraksi dalam acara 10 meter air rifle wanita pada Sukan Olimpik London 2012 ketika hamil lapan bulan.
Sementara itu mengenai aksi final hari ini, Syafiqa berkata, mereka sudah memberikan segala-galanya, namun terpaksa menerima hakikat bahawa rezeki kali ini sekadar memihak kepada pingat perak.
Bagi Aleena, pingat perak itu tetap menjadi pencapaian istimewa pada penampilan sulungnya di pentas Sukan Komanwel, meskipun mereka turun dengan sasaran memburu emas.
“Jadi mungkin kami akan tunggu lagi empat tahun akan datang, ada rezeki insya-ALLAH kalau saya masih bermain, kita akan cuba tukar warna pingat,” kata atlet berusia 27 tahun itu.
Pada aksi final, Aleena-Syafiqa tewas 0.5-1.5 kepada pasangan England, Amy Pharaoh dan Sian Honnor.
Walaupun tewas, pencapaian itu menyaksikan Malaysia meraih pingat kedua dalam sejarah acara pairs wanita di Sukan Komanwel selepas Emma Firyana Saroji-Siti Zalina Ahmad memenangi emas pada edisi 2018 di Gold Coast.
Pingat perak itu juga merupakan pingat sulung kem boling padang negara pada Glasgow 2026. – Bernama





