sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pingat emas mungkin terlepas daripada genggaman, namun skuad boling padang negara tetap pulang dengan kepala tegak selepas mencipta sejarah apabila meraih dua pingat perak pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Izzat Shameer Dzulkeple menjadi tumpuan apabila melakar pencapaian bersejarah selepas muncul atlet lelaki Malaysia pertama memenangi pingat perak acara perseorangan lelaki di pentas Sukan Komanwel.
Bagaimanapun, impian pemain berusia 34 tahun itu untuk menghadiahkan emas tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada wakil England, Sam Tolchard dalam aksi final di Scottish Event Campus (SEC), hari ini.
Mengakui sedikit gementar beraksi dalam final pertama Sukan Komanwel, Izzat tetap berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan sambil menegaskan dia sudah memberikan yang terbaik buat negara.
“Setiap kali saya bertanding untuk Malaysia, saya tidak fikir mengenai menang atau kalah. Saya hanya mahu memberikan yang terbaik.
“Sudah tentu saya bangga, bangga untuk diri sendiri dan bangga untuk negara saya,” katanya.
Izzat berkata, pengalaman beraksi di final menjadi pengajaran berharga dan dia berazam kembali dengan lebih kuat pada edisi akan datang dalam misi memburu pingat emas.
“Saya kekal positif. Saya masih muda dan akan kembali mencuba untuk memenangi emas,” katanya.
Selain Izzat, pasangan wanita negara Aleena Ahmad Nawawi dan Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman turut menyumbang pingat perak selepas tewas 0.5-1.5 kepada gandingan England, Amy Pharaoh dan Sian Honnor dalam final acara pasangan wanita.
Aleena mengakui sedikit kecewa kerana gagal membawa pulang emas, namun tetap menghargai kejayaan meraih perak dan menganggap pengalaman itu sebagai pembakar semangat untuk bangkit.
“Saya tidak sabar untuk bertemu mereka lagi dan mengalahkan mereka mungkin pada edisi akan datang,” katanya.
Sebelum mara ke final, Izzat menyingkirkan wakil Australia, Aaron Wilson, manakala Aleena-Syafiqa menewaskan pasangan Ireland Utara, Chloe Wilson dan Shauna O’Neill untuk mengesahkan tempat ke perlawanan akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd





