anbia@hmetro.com.my
Hulu Selangor: Rampasan membabitkan nilai RM7.93 juta. Itu kejayaan besar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia yang menumpaskan sindiket membiakkan pelbagai spesies burung eksotik tanpa permit.
Ketua Pengarah PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kejayaan itu hasil serbuan di sebuah premis di daerah ini, baru-baru ini.
Beliau berkata, pihaknya sebelum ini mengesan kegiatan pembiakbakaan komersial hidupan liar tanpa permit didalangi warga tempatan.
“Dalam operasi jam 12.30 tengah hari itu, pasukan penguat kuasa PERHILITAN disertai sembilan pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman menemui ratusan burung eksotik daripada pelbagai spesies dilindungi.
“Ini termasuk pelbagai jenis burung kakaktua (cockatoo), macaw, burung nuri Amazon, toucan, grey parrot, eclectus parrot, lorikeet dan beberapa spesies eksotik lain yang dipercayai dipelihara bagi tujuan pembiakbakaan komersial,” katanya.
Menurutnya, turut ditemui ialah 35 anak hidupan liar serta 29 biji telur yang dipercayai berkaitan aktiviti pembiakbakaan itu.
“Keseluruhan hidupan liar dirampas dianggarkan bernilai RM7.93 juta.
“Ia sekali gus menjadikan operasi ini antara rampasan hidupan liar terbesar direkodkan di Selangor tahun ini,” katanya.
Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, pasukan penguat kuasa berdepan gangguan daripada beberapa pihak termasuk peguam yang hadir mewakili individu berkaitan premis itu.
“Hasil pemeriksaan turut menemui 15 pekerja warga asing terdiri daripada 11 warga Sri Lanka dan empat warga Bangladesh berada di lokasi.
“Pemilik premis diminta mengemuka permit pembiakbakaan hidupan liar yang sah, namun gagal berbuat demikian,” katanya.
Susulan itu, semua hidupan liar bersama barang kes berkaitan disita mengikut peruntukan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Suspek kemudian ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.
“Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan.
“Siasatan dijalankan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana disyaki menjalankan aktiviti pembiakbakaan komersial hidupan liar tanpa permit yang sah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






