Aplikasi janji temu perangkap pelajar

Aplikasi janji temu perangkap pelajar


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lambakan laman web dan aplikasi janji temu mencari pasangan dikesan menjadi perangkap yang menghanyutkan gadis muda, terutama penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) ke kancah sugar baby demi mengejar kemewahan hidup.

Mendedahkan perkara itu, Timbalan Ketua Pegawai Psikolog i Unit Kaunseling, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (PTNC HEPA), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Rosni Mohammad berkata, fenomena itu sememangnya wujud berdasarkan dapatan lapangan di Malaysia selain disokong laporan media mengenai isu berkenaan.

Menurutnya, platform berkenaan turut dipasarkan secara licik menggunakan naratif seperti ‘pemberdayaan wanita’ (woman empowerment), ‘hubungan berkesalingan’ (mutually beneficial relationships) dan ‘penajaan pengajian’ sehingga mengaburkan hakikat sebenar eksploitasi kewangan serta seksual.

“Selain laman web dan aplikasi khusus ‘sugar baby’ atau ‘sugar daddy’, saluran media sosial seperti Telegram dan X turut digunakan sebagai forum terbuka atau saluran rahsia bagi aktiviti berkaitan hubungan berunsurkan ‘sugar arrangement’ (aturan hubungan berasaskan ganjaran kewangan).

“Selain itu, aplikasi temu janji seperti Tinder, MiChat, Badoo dan Bumble turut disalah guna oleh segelintir individu dengan memaparkan frasa seperti ‘looking for SD’ (mencari sugar daddy), ‘seeking allowance’ (mencari elaun) atau ‘sugar arrangement’ (hubungan berasaskan ganjaran kewangan) pada profil mereka,” katanya.

Beliau berkata, lambakan aplikasi digital memburukkan keadaan apabila ciri kerahsiaan dan anonimiti membolehkan pengguna menyembunyikan identiti sebenar, menggunakan nama samaran atau berkomunikasi menerusi sistem sembang yang disulitkan.

Katanya, keadaan itu memudahkan capaian terus menerusi telefon pintar tanpa rasa takut dikesan oleh keluarga, rakan atau pihak universiti, sekali gus menghakis rasa bersalah dan mengurangkan kebimbangan terhadap stigma masyarakat.

Rosni berkata, pembabitan mahasiswa dalam fenomena itu bukan berpunca daripada satu faktor semata-mata, sebaliknya didorong gabungan tekanan kewangan, budaya hedonisme dan materialisme, pengaruh media sosial serta kerentanan psikologi.

Beliau berkata, peningkatan kos sara hidup yang tidak seimbang dengan bantuan kewangan mahasiswa turut mewujudkan ruang penembusan yang ketara kepada platform digital berunsurkan eksploitasi.

“Fenomena ini memang benar wujud dan bukannya sekadar khabar angin. Berdasarkan data perbandingan sosial, peningkatan kos sara hidup yang tidak seimbang dengan bantuan kewangan mahasiswa mewujudkan ruang penembusan yang amat ketara bagi platform digital eksploitatif ini.

“Hal ini dibuktikan dengan laporan akhbar berkait isu ini dari semasa ke semasa dan bukti lambakan laman web berkait isu ini,” katanya.

Beliau berkata, paparan gaya hidup mewah oleh pempengaruh di media sosial tanpa memperlihatkan realiti di sebaliknya turut mewujudkan persepsi bahawa wang boleh diperoleh dengan mudah melalui hubungan sedemikian.

“Fasa alam dewasa muda juga menjadikan sebahagian mahasiswa mudah terperangkap apabila mereka mencari pengiktirafan sosial dan menjadi sasaran individu yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan emosi mereka.

“Oleh itu, isu ini memerlukan tindakan bersepadu semua pihak termasuk universiti, ibu bapa dan agensi penguat kuasa dengan memperluaskan bantuan kewangan, memperkukuh perkhidmatan kaunseling serta memperketat pemantauan dan sekatan terhadap laman web yang mempromosikan budaya ‘sugar baby’ bagi melindungi mahasiswa daripada terus dieksploitasi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top