Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan beliau bukan bersikap rasis atau perkauman, sebaliknya hanya mahu mengingatkan orang Melayu supaya memahami sejarah negara serta mempertahankan asas Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial.
Sanusi menjelaskan, persepsi yang mengaitkan dirinya dengan sentimen perkauman tercetus akibat kenyataannya yang didakwa telah dimanipulasi pihak tertentu.
Beliau berkata, latar belakang keluarganya sendiri membuktikan beliau tidak mempunyai sentimen sedemikian apabila mempunyai darah keturunan Cina daripada sebelah datuknya.
“Datuk saya sendiri berasal dari China. Saya tak ada perasaan rasis. Realitinya, tanah ini memang Tanah Melayu, ucapan saya dimanipulasi untuk bina persepsi kononnya saya bersifat perkauman, rasis,” ujarnya ketika bersiaran secara langsung dalam Podcast Bersama MB Kedah di portal Kedah Online, semalam.

Mengulas lanjut, Sanusi menegaskan kenyataannya mengenai Tanah Melayu ketika berucap dalam satu ceramah di Negeri Sembilan bukan bertujuan mengungkit sejarah atau menyentuh mana-mana kaum.
Sebaliknya, beliau mendakwa kenyataan itu dibuat sebagai peringatan supaya perkara yang telah dipersetujui ketika pembentukan negara tidak diubah secara beransur-ansur.
“Ucapan saya dalam ceramah di Negeri Sembilan itu bukanlah nak mengungkit, tetapi saya nampak trend ke arah usaha memunggah secara senyap perkara yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan.
“Saya cuma mengingatkan inilah asas yang telah kita persetujui untuk hidup bermasyarakat. Kita hidup aman dan tidak ada masalah, jadi jangan cuba memunggah apa yang telah diikat kerana ia akan menyentuh perkara sensitif serta hanya mengeruhkan keadaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa terdapat kecenderungan tertentu yang dilihat boleh menjejaskan perkara yang telah dipersetujui dalam pembentukan negara.
“Saya nampak bau-bau ke arah itu. Pemimpin politik kena cakna dengan perkembangan seperti ini,” katanya.
Sanusi turut mengingatkan orang Melayu supaya tidak hilang kesedaran politik kerana menurutnya, sejarah menunjukkan sesuatu bangsa boleh kehilangan tanah air apabila gagal menguasai politik.
“Saya bercakap kepada bangsa saya sendiri. Orang Melayu jangan hilang kesedaran politik dan jangan tak peduli politik kerana melalui politik juga sesuatu bangsa boleh hilang tanah air,” tegasnya.
Beliau kemudian mengambil contoh masyarakat Rohingya di Arakan serta konflik Palestin sebagai gambaran bagaimana perubahan politik boleh memberi kesan terhadap kedudukan sesuatu bangsa.
“Ambil pengajaran daripada sejarah negara terbabit, kerana tidak menguasai politik, politik dikuasai orang lain, mereka hilang negara. Jadi penting kita memahami dengan jelas sesuatu perkara,” katanya.
Sanusi berkata, rakyat juga perlu memahami sejarah pembentukan negara secara menyeluruh termasuk proses kemasukan masyarakat Cina dan India ketika era penjajahan British yang akhirnya membawa kepada rundingan pembentukan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, identiti negara seperti kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu serta hak istimewa orang Melayu merupakan perkara yang telah dipersetujui bersama ketika pembentukan negara.
Beliau turut menyeru rakyat supaya memahami sejarah secara mendalam dan bukan sekadar menghafal fakta.
“Kita kena memahami sejarah, bukan sekadar menghafal. Bila kita faham perjalanan sejarah, kita boleh menghubungkan setiap peristiwa dan melihat gambaran besar yang membawa kita kepada keadaan negara hari ini.
“Sejarah yang membawa kita sampai ke tahap ini. Setiap perjalanan yang kita lepasi dipanggil sejarah. Faham apa yang telah terjadi sehingga membawa kita berada pada situasi seperti ini,” tambahnya.
Sebelum ini, Sanusi mencetuskan perhatian selepas ucapan beliau dalam ceramah di Negeri Sembilan pada 23 Julai lalu yang menyentuh mengenai kedudukan orang Melayu dan Tanah Melayu.
Artikel lain: Isu ceramah PRN: Sanusi bakal dipanggil polis, rakam percakapan bantu siasatan
Dalam ceramah itu, beliau berkata, “Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India. Orang Cina ada China. Orang Kemboja ada Kemboja. Orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja.”

Kenyataan tersebut kemudiannya mengundang pelbagai reaksi sebelum Sanusi tampil menjelaskan bahawa ucapan berkenaan bukan bertujuan menyemai sentimen perkauman, sebaliknya sebagai peringatan berkaitan sejarah dan kesedaran politik.
Sumber: FB Urus Setia Penerangan Darul Aman – UPDA (Roslinda Hashim)






