Kelemahan pengurusan kontraktor punca projek sakit


BUTTERWORTH: Sebanyak 75 peratus projek pembinaan yang lewat dan sakit di seluruh negara berpunca daripada kelemahan pengurusan kontraktor, pengawasan operasi serta kekangan kewangan manakala baki 25 peratus pula berpunca daripada isu teknikal di tapak pembinaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keadaan itu menunjukkan bahawa kontraktor perlu memperkukuh kedudukan kewangan, pengurusan dalaman serta keupayaan melaksanakan projek bagi memastikan kerja dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

“Sebanyak 75 peratus projek yang lewat berpunca secara langsung daripada pengurusan kontraktor yang lemah, pengawasan operasi yang tidak kukuh dan kekangan kewangan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Kontraktor 2026 di sini, hari ini.

Ahmad berkata, ketika ini, kontraktor tidak lagi boleh bergantung kepada keupayaan teknikal semata-mata kerana kelangsungan syarikat dalam jangka panjang turut bergantung kepada tadbir urus yang baik, aliran tunai kukuh, tenaga kerja berkemahiran, penggunaan teknologi serta rekod penyampaian projek.

Sebaliknya, beliau berkata, kontraktor perlu mempunyai keupayaan kewangan, pengurusan dan tadbir urus yang kukuh selain mampu menyiapkan projek mengikut masa, kos serta standard ditetapkan bagi memastikan mereka terus berdaya saing dalam mendapatkan tender kerajaan.

Sementara itu, beliau menggesa lebih ramai kontraktor meneroka bidang pengurusan fasiliti (FM) dan penyenggaraan yang menawarkan peluang perniagaan bernilai tinggi.

Ahmad berkata, ketika ini, sebanyak 1,541 projek FM dan penyenggaraan bernilai RM39.59 bilion direkodkan sepanjang tempoh 2023 hingga 2025 berdasarkan rekod pengisytiharan projek oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Bagaimanapun, katanya, hanya 468 kontraktor FM berdaftar di bawah pengkhususan F01 dan F02, sekali gus menunjukkan masih terdapat ruang yang luas untuk diceburi kontraktor.

“Ini peluang yang perlu direbut oleh kontraktor. Kita bukan hanya perlu terlibat dalam pembinaan, tetapi juga penyenggaraan kerana ia merupakan peluang perniagaan yang kadang-kadang dilupakan.

“Projeknya bernilai berbilion ringgit tetapi kontraktor yang berdaftar dalam bidang ini masih belum ramai. Kita berharap lebih ramai kontraktor mendaftar sebagai kontraktor facility management,” katanya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top