am@hmetro.com.my
Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih kestabilan politik sebagai keutamaan berbanding ‘bertempur’ bagi memastikan Malaysia kekal menjadi destinasi pelaburan global.
Perdana Menteri menegaskan, keseimbangan politik dan ekonomi memerlukan kompromi kerana pelabur memerlukan keyakinan terhadap kestabilan negara.
“Sebab itu orang sergah saya kerana nampak kompromi tetapi saya ada pilihan. Bertempur, ekonomi menjunam. Kompromi akan memberi keterbatasan tentang langkah-langkah diambil. Itu di antara dua keputusan yang harus dibuat.
“Maka saya memilih untuk menjaga supaya politik itu stabil dan ekonomi berkembang,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.
Anwar berkata, beliau memilih untuk memastikan kestabilan politik terus dipelihara bagi memastikan ekonomi negara berkembang dengan lebih pesat.
Katanya, pertumbuhan ekonomi yang kukuh berupaya memberi ruang kepada kerajaan untuk meningkatkan perbelanjaan dan peruntukan bagi memenuhi keperluan rakyat.
“Bagi saya kestabilan politik itu sangat penting bagi negara kita kerana orang tidak akan melabur kalau politik itu tidak stabil,” katanya.
Beliau berkata, kekuatan asas ekonomi ketika ini membolehkan kerajaan berada dalam kedudukan lebih selesa untuk mempertimbangkan tambahan peruntukan.
Bagamanapun, beliau menjelaskan, setiap permintaan perlu dilihat dalam kerangka makro dan mengambil kira kekangan kewangan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd
