Tentera Darat Malaysia (TDM) menegaskan kebajikan Truper Abdul Hamid Talib sentiasa diberi perhatian sejak insiden yang menyebabkan anggota berkenaan mengalami kecederaan serius pada 12 Mac lalu.
Malah, TDM memaklumkan tindakan tatatertib terhadap pelaku telah diambil, termasuk proses pemberhentian perkhidmatan yang kini sedang dilaksanakan.
Menurut kenyataan rasmi Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Tentera Darat hari ini, pihaknya mengambil maklum laporan media bertarikh 27 Julai lalu yang mendakwa berlaku pengabaian terhadap kebajikan Abdul Hamid.
TDM berkata, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan anggota berkenaan menerima rawatan perubatan terbaik serta bantuan kebajikan yang sewajarnya sepanjang tempoh pemulihan.
“Anggota telah menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru sebelum dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan dan seterusnya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi rawatan serta rehabilitasi lanjut,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, TDM memaklumkan lawatan kebajikan dilaksanakan secara berterusan oleh pelbagai peringkat pemerintahan bagi memantau perkembangan kesihatan anggota selain memastikan segala keperluannya dipenuhi.
Katanya, persediaan turut dibuat bagi memastikan Abdul Hamid menerima penjagaan yang sewajarnya di rumah selepas dibenarkan keluar dari hospital kelak.
Mengulas mengenai tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab, TDM menjelaskan siasatan dalaman berhubung insiden itu telah selesai dijalankan dan tindakan sewajarnya telah diambil mengikut peruntukan yang berkuat kuasa.
“Proses pemberhentian perkhidmatan terhadap pelaku sedang dilaksanakan. Pada masa yang sama, siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah selesai dan sebarang tindakan lanjut adalah tertakluk kepada proses perundangan,” katanya.
Sehubungan itu, TDM menyeru semua pihak mendapatkan maklumat daripada sumber sahih sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga sensitiviti anggota dan keluarganya.
“TDM kekal komited untuk terus memberikan perhatian terhadap kebajikan anggota serta akan menyalurkan bantuan mengikut keperluan dan peruntukan yang ditetapkan,”menurut kenyataan itu lagi.
Media sebelum ini melaporkan Abdul Hamid mengalami kecederaan serius ketika berada di Kem Iskandar, Mersing, Johor pada 11 Mac lalu.
Laporan perubatan memaklumkan mangsa mengalami kecederaan otak traumatik teruk sehingga menyebabkan lumpuh pada keempat-empat anggota badan.
Mangsa yang berasal dari Bum Bum, Semporna, Sabah itu kini tidak mampu bercakap dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan serta menerima nutrisi melalui tiub susulan kecederaan serius di bahagian kepala.

Kecederaan tersebut didakwa berlaku selepas Abdul Hamid menjalani hukuman di kem berkenaan dan bukannya akibat terjatuh seperti dimaklumkan sebelum ini.
Keluarga mangsa turut membuat laporan polis pada 14 Mac lalu serta menggesa tindakan segera diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.






