ALOR SETAR: Pembangunan negeri bukan sahaja bergantung kepada kemajuan fizikal dan ekonomi, malah memerlukan golongan ilmuwan, ulama serta generasi berpengetahuan yang dibentuk melalui amalan membaca.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Kedah, Datuk Mohd Azam Abd. Samat berkata, budaya membaca bukan hanya untuk mengisi masa lapang tetapi meningkatkan pengetahuan yang akan mempersiapkan diri menghadapi cabaran masa kini dan masa depan.
Katanya, budaya membaca juga antara yang dituntut agama kerana ia membina tamadun bangsa dan negara, apatah lagi wahyu pertama yang diturunkan ialah ‘Iqra’ yang membawa maksud membaca.
“Bangsa yang membaca ialah bangsa yang berfikir dan akan melahirkan masyarakat yang berilmu, seterusnya melahirkan generasi yang tinggi sahsiahnya dan luas ilmunya.
“Golongan ini mampu membina negeri yang maju serta mendapat keberkatan Allah SWT. Justeru, kehadiran Big Bad Wolf Books ke Alor Setar kali ini tepat pada masanya,” katanya pada majlis perasmian jualan buku berkenaan di Stadium Sultan Abdul Halim, hari ini.
Katanya, kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan amat penting dalam usaha meningkatkan literasi masyarakat kerana pembangunan budaya ilmu tidak mampu digerakkan secara bersendirian.
Sementara itu, beliau turut menggesa ibu bapa dan pihak sekolah mengambil peluang mengadakan lawatan ke pameran buku berkenaan bagi memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar.
Katanya, pelbagai buku berkualiti ditawarkan termasuk koleksi dalam bahasa Inggeris yang sesuai untuk membantu kanak-kanak membiasakan diri dengan bahasa tersebut sejak usia muda.
“Dengan harga buku serendah RM3 dan diskaun sehingga 95 peratus, lebih ramai rakyat berpeluang memiliki bahan bacaan berkualiti untuk kegunaan keluarga masing-masing.
“Ini adalah hasrat kita dalam menjayakan agenda The Greater Kedah, iaitu melahirkan generasi muda yang berakhlak dan berilmu serta memahami sejarah dan masa depan negeri ini demi mengembalikan kegemilangan Kedah,” katanya. – UTUSAN






