Istanbul: Seorang pegawai kanan Hamas pada Jumaat berkata kumpulan Palestin itu tidak akan mengambil sebarang langkah ke arah pelucutan senjata sebelum tentera Israel berundur dari Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi.
Anggota delegasi rundingan Hamas, Ghazi Hamad berkata isu pelucutan senjata berkait rapat dengan pengunduran Israel dari Gaza serta usaha pembinaan semula wilayah itu.
Dalam kenyataan kepada saluran Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar, Hamad berkata Israel tidak akan memainkan sebarang peranan dalam proses pelucutan senjata, sebaliknya proses itu akan dilaksanakan oleh sebuah jawatankuasa kebangsaan Palestin.
Beliau menegaskan bahawa Hamas tidak akan melaksanakan sebarang langkah pelucutan senjata selagi Israel belum memenuhi terlebih dahulu kewajipannya di bawah persetujuan berkenaan.
Hamad menyifatkan rundingan itu sebagai “sukar dan mencabar”, sambil berkata Hamas berusaha mendapatkan hasil terbaik tanpa mengabaikan komitmennya untuk mempertahankan hak rakyat Palestin.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Mesir, Qatar dan Türkiye atas usaha pengantaraan mereka sehingga persetujuan itu berjaya dicapai.
Kenyataan Hamad dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan bahawa persetujuan telah dicapai bagi pelucutan senjata sepenuhnya Hamas dan kumpulan bersenjata lain di Gaza, manakala tentera Israel akan berundur secara berfasa seiring kemajuan proses berkenaan.
Trump turut memuji peranan Mesir, Qatar dan Türkiye dalam membantu menjayakan apa yang disifatkannya sebagai “kejayaan bersejarah”.
Beliau berkata persetujuan itu akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan Pasukan Penstabilan Antarabangsa bekerjasama bersama pasukan polis Palestin yang baharu untuk mengambil alih tanggungjawab keselamatan di Gaza.
Perang genosid Israel di Gaza telah mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 174,000 yang lain, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur wilayah itu.
Gencatan senjata itu dicapai berdasarkan pelan 20 perkara Trump bagi Gaza dan dipantau oleh Lembaga Keamanan yang dipengerusikannya.
Meskipun gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt 2025, Israel terus melancarkan serangan setiap hari di seluruh Gaza, mengorbankan 1,214 rakyat Palestin dan mencederakan 3,977 yang lain, selain menyebabkan kemusnahan meluas.
© New Straits Times Press (M) Bhd






