PERMOHONAN Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk mendapatkan peruntukan tahunan sekurang-kurangnya RM1 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bukan bertujuan memberi manfaat kepada individu, sebaliknya demi menjamin kelangsungan pembangunan sukan angkat berat negara.
Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, beliau berterima kasih atas sokongan penuh yang diberikan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) terhadap permohonan itu selepas kejayaan bersejarah skuad angkat berat muncul juara keseluruhan pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Menurutnya, dana tambahan itu amat diperlukan bagi memperkukuhkan pembangunan akar umbi, melahirkan pelapis berkualiti serta memastikan momentum kecemerlangan negara dapat diteruskan pada masa depan.
“Saya sentiasa bercakap terus terang. Permohonan ini bukan untuk kepentingan individu, tetapi demi masa depan sukan angkat berat negara.
“Sukan angkat berat tidak berada dalam sistem kokurikulum sekolah seperti kebanyakan sukan lain. Walaupun perkara ini telah beberapa kali dibangkitkan, penerimaan terhadap sukan ini masih jauh berbeza berbanding bola sepak, badminton, olahraga, lawn bowls atau sepak takraw,” katanya pada Isnin.
Ayub berkata, keadaan itu menyebabkan PABM terpaksa bergerak sendiri untuk mengenal pasti individu yang mempunyai bakat dan potensi dalam sukan berkenaan.
Menurutnya, atlet angkat berat bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal, malah mental yang tinggi kerana latihan yang dijalani berbeza serta lebih mencabar.
Beliau berkata, kebanyakan atlet kebangsaan ketika ini semakin meningkat usia, justeru usaha melahirkan pelapis baharu perlu diperkasakan menerusi program pencarian bakat yang lebih menyeluruh.
“Kami mempunyai program pencarian bakat yang berjaya, tetapi ia memerlukan kos. Persatuan negeri pula berdepan kekangan kewangan untuk menguruskan program pembangunan dan mencari atlet baharu.
“Itulah sebab utama kami mengusulkan geran tahunan RM1 juta bagi membantu menyelesaikan cabaran utama pembangunan sukan ini,” katanya.
Beliau menjelaskan, Majlis Sukan Negara (MSN) sememangnya menyediakan peruntukan bagi penyertaan skuad kebangsaan ke kejohanan antarabangsa, namun PABM juga memerlukan dana tambahan untuk menganjurkan lebih banyak pertandingan domestik.
Katanya, peruntukan sekitar RM30,000 bagi penganjuran kejohanan kebangsaan ketika ini tidak lagi mencukupi bagi memastikan program pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Ayub turut menzahirkan keyakinan terhadap komitmen Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, yang disifatkannya memahami keperluan sukan angkat berat selepas menyaksikan sendiri kejayaan atlet negara di Glasgow.
Beliau turut menghargai sokongan Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, yang menurutnya memahami keperluan pembangunan sukan itu selepas menerima laporan lengkap daripada Timbalan Presiden MOM, Datuk Nur Azmi Ahmad serta Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nasir Ali, yang mengikuti rapat perjalanan skuad negara sepanjang temasya tersebut.
“Bukan soal saya atau barisan kepimpinan PABM. Yang penting ialah masa depan sukan angkat berat.
“Sekurang-kurangnya kami telah membuka mata rakyat bahawa sudah tiba masanya sukan yang benar-benar mampu menghadiahkan pingat kepada negara diberi perhatian dan keutamaan sewajarnya,” katanya.






