am@hmetro.com.my
Temerloh: Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Allahyarham Mohd Radzi Rahimi, 40, yang terbunuh selepas pikap dinaiki dihempap pokok di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong, dekat Kampung Janda Baik, Bentong, hari ini, disifatkan bapanya sebagai seorang yang mudah didekati sejak aktif dalam politik sejak 10 tahun lalu.
Bapa Allahyarham, Rahimi Abd Samad, 63, berkata semangat perjuangan anaknya itu adalah kesinambungan semangat perjuangan beliau dalam UMNO sebelum ini yang pernah aktif dalam politik di Maran.
Katanya, kali terakhir beliau bertemu anaknya Khamis lalu sebelum Allahyarham serta isteri dan dua anak mereka ke Pulau Pangkor, Perak, untuk menyertai program konvoi bermotosikal bersama belia Maran.
“Ketika pulang dari Pulau Pangkor saya difahamkan Allahyarham singgah bermalam di Genting Highlands bersama isteri, dua anak kembar mereka serta adik iparnya.
“Saya tak pasti ketika kejadian mereka sekeluarga hendak ke mana tetapi mungkin hendak ke Janda Baik untuk makan sebelum balik ke Maran,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSAS), Temerloh, hari ini.
Mohd Radzi maut selepas pikap dinaiki dihempap pokok dekat Janda Baik, kira-kira jam 1 tengah hari.
Turut terbunuh dalam kejadian itu ialah isterinya, Nuriani Mohammad Jafri, 36, anak mereka, Muhammad Rizz Hazim, 5, dan adik ipar, Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35.
Seorang lagi anak kembar pasangan itu, Muhammad Rizz Haziq, dilaporkan parah dan sedang dirawat di HOSAS.
Menurut Rahimi, Allahyarham adalah seorang individu yang mudah didekati pelbagai lapisan masyarakat.
Katanya, selain menerajui Pemuda UMNO Bahagian Maran, anaknya yang bekerja sebagai kontraktor turut dilantik sebagai Bendahari Pemuda UMNO Pahang.
“Dia memang seorang yang aktif. Ramai golongan ahli UMNO rapat dengan Allahyarham,” katanya.
Rahimi berkata, walaupun sedih dengan kehilangan anaknya, keluarga menerima ketentuan itu dengan reda.
Semua jenazah dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat bermula jam 9 malam tadi.
Antara pemimpin yang menziarahi keluarga ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran.
Selepas proses bedah siasat, semua jenazah akan dibawa ke Masjid Kampung Paya Luas, di sini, untuk dimandi dan dikafankan.
Jenazah empat terbabit kemudian akan dibawa ke Masjid As-Syakirin, Maran, untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Chendung.
© New Straits Times Press (M) Bhd






