Mahu warga PDRM Sabah terbuka terima perubahan

Mahu warga PDRM Sabah terbuka terima perubahan


am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah diingatkan supaya menerima setiap arahan dan perubahan yang diperkenalkan dengan sikap terbuka, selain memanfaatkan kemajuan teknologi bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, setiap perubahan yang dilaksanakan bertujuan memperkukuh organisasi dan bukannya membebankan warga pasukan.

Katanya, anggota dan pegawai tidak seharusnya mewujudkan persepsi negatif terhadap setiap arahan baharu, sebaliknya melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab.

“Jangan memperkatakan arahan baharu itu salah atau tidak sesuai. Saya mahu semua memberi kerjasama dan menerima perubahan yang diperkenalkan demi kebaikan pasukan.

“Kita perlu bersatu hati dan bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan setiap dasar yang diperkenalkan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Majlis itu menyaksikan Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman menyerahkan tugas sebagai Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu kepada Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain.

Dalam pada itu, Jauteh berkata, kemajuan teknologi yang dinikmati ketika ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kecekapan tugas, khususnya dalam penyiasatan dan penyediaan kertas siasatan.

Menurutnya, ketika memulakan kerjaya dalam pasukan, kebanyakan tugasan termasuk penyediaan kertas siasatan dilakukan secara manual dan mengambil masa yang lebih lama untuk diselesaikan.

“Dulu saya membuka kira-kira 50 kertas siasatan sebulan membabitkan kes indeks dan bukan indeks. Kini, pegawai penyiasat mampu mengendalikan lebih 200 kertas siasatan setahun dengan bantuan sistem yang lebih moden.

“Gunakan kemudahan yang ada untuk mempercepatkan siasatan supaya masyarakat mendapat keadilan dengan lebih cepat. Jangan apabila kerja menjadi lebih mudah, kita pula menjadi malas,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman mengendalikan kes pembunuhan pada awal perkhidmatannya memperlihatkan keseluruhan proses siasatan ketika itu dilakukan secara bertulis dan mengambil masa sehingga tujuh hari untuk disiapkan.

Katanya, keadaan kini jauh berbeza apabila pelbagai sistem digital membantu mempercepatkan penyediaan dokumen siasatan serta urusan operasi.

Sementara itu, Jauteh berharap semua pegawai yang mengikuti kursus, peperiksaan atau proses kenaikan pangkat terus berusaha mencapai kejayaan.

“Setiap tugasan yang dilaksanakan dengan ikhlas adalah satu amanah dan boleh menjadi amal ibadah jika dilakukan dengan penuh tanggungjawab.

“Teruskan memperkukuh semangat kebersamaan, elakkan perbalahan berhubung arahan baharu dan bersama-sama memastikan organisasi terus bergerak ke hadapan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top