WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi isyarat konflik dengan Iran mungkin berakhir dalam masa terdekat selepas menyifatkan rundingan antara kedua-dua pihak semalam sebagai ‘perbincangan sangat baik’.
Harapan terhadap kesepakatan itu turut mendorong harga minyak susut dan pasaran saham Asia meningkat pada Rabu, selepas Wall Street mencatat rekod tertinggi berikutan jangkaan laluan perkapalan di Selat Hormuz akan dibuka semula.
Trump berkata, rundingan berlangsung sepanjang hari dan memberi jaminan Selat Hormuz ‘akan dibuka semula tidak lama lagi’.
“Jika mereka berundur daripada persetujuan itu sekali lagi, mereka akan dihentam dengan sangat teruk,” katanya dalam rancangan Fox News, @Night.
Trump sebelum ini berulang kali mengancam untuk melancarkan serangan besar-besaran jika Teheran gagal mencapai persetujuan, namun pada masa sama sering mendakwa terdapat kemajuan dalam rundingan yang setakat ini masih gagal menamatkan konflik.
Menurut laporan Axios yang memetik dua sumber serantau dan seorang pegawai AS, Washington dan Teheran semakin hampir mencapai perjanjian sementara untuk membuka semula Selat Hormuz dengan persetujuan Oman, yang menguasai sebahagian laluan perairan berkenaan.
Laporan itu menyebut Washington menyasarkan pengumuman mengenai perjanjian berkenaan pada Rabu.
Bagaimanapun, media kerajaan Iran yang memetik sumber berkata sebarang perjanjian dengan Oman berhubung pembukaan semula selat yang biasanya menjadi laluan kira-kira satu perlima daripada penghantaran minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia itu akan ditangguhkan selagi AS terus mengancam Iran.
Trump setakat ini masih belum mencapai matlamat yang ditetapkannya pada awal perang, termasuk melumpuhkan program nuklear Iran, mengehadkan keupayaannya menyerang musuh serantau serta mewujudkan keadaan yang membolehkan rakyat Iran menggulingkan pemerintah ulama mereka.
Iran menghentikan sebahagian besar trafik perkapalan melalui Selat Hormuz, manakala Washington terus melaksanakan sekatan terhadap kapal dan pelabuhan yang mempunyai kaitan dengan Iran.
Qatar sebelum ini berkata pihak pengantara menunjukkan kemajuan dalam usaha menamatkan konflik itu, walaupun Tehran menafikan rundingan sedang berlangsung.
Pejabat Emir Qatar dalam satu kenyataan berkata, Trump dan Emir Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani membincangkan usaha merapatkan perbezaan antara Washington dan Teheran serta meningkatkan peluang mencapai penyelesaian berkekalan dalam satu perbualan telefon pada Selasa.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, pula berkata rundingan dengan Oman mengenai laluan transit melalui selat itu berjalan positif dan masih diteruskan.
Menurut laporan media kerajaan Iran, rundingan tersebut memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan laluan perkapalan yang selamat.
Baghaei berkata laluan yang sedang dirunding itu bertujuan memastikan hak berdaulat serta keselamatan negara Iran dan Oman terpelihara.- AGENSI






