Eogene kejutkan Zii Jia di pusingan awal Korea Masters

Eogene kejutkan Zii Jia di pusingan awal Korea Masters


PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terkandas lagi di pusingan awal dan kali ini, bekas jaguh No. 2 dunia itu dikejutkan juniornya sendiri, Eogene Ewe pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton Korea Masters di Asan, Korea Selatan, hari ini.

Anak kelahiran Kedah yang kini menghuni ranking No. 54 dunia itu terpaksa akur kepada Eogene, 21, menerusi kekalahan straight set 9-21, 19-21 dalam masa 28 minit.

Eogene yang menghuni ranking ke-75 dunia akan menentang pemain No. 42 dunia, Su Li Yang dari Taiwan pada pusingan kedua, esok.

Seorang lagi pemain perseorangan Malaysia, Cheam June Wei mengejutkan pilihan kedua, Jason Teh dari Singapura 21-13, 21-19 dalam masa 39 minit.

Kemenangan dicatat June Wei yang merupakan pemain ke-72 dunia itu membolehkan dia merapatkan jurang rekod pertemuan dengan Jason yang menghuni ranking No. 29 dunia kepada 3-4.

Pada pusingan seterusnya, June Wei akan berdepan pemain muda China, Dong Tian Yao yang berada di tangga No. 49 dunia.

June Wei pernah tewas kepada Tian Yao 11-21, 12-21 dalam satu-satunya pertemuan mereka pada China Masters, tahun lalu.

Kejayaan Eogene dan June Wei, bagaimanapun, gagal diikuti oleh seorang lagi wakil negara, Lim Ming Hong yang akur kepada pemain England, Harry Huang dari England 21-16, 16-21, 8-21 dalam masa 55 minit.

Nasib yang sama turut dialami wakil perseorangan wanita, S. Kisona yang tewas di tangan pemain China, Han Qian Xi 20-22, 13-21 dalam masa 35 minit.

Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki, naib juara Terbuka Taiwan, Aaron Chia-Aaron Tai turut melayakkan diri ke pusingan kedua, selepas menundukkan Bhargav Ram Arigela-Viswa Tej Gobburu dari India 21-17, 21-15 dalam masa 27 minit.

Beregu pecah ganding itu yang semakin mempamerkan keserasian bakal menghitung pertemuan dengan pasangan dua negara, Korea Selatan dan Malaysia, Choi Sol Gyu-Goh V Shem yang diletakkan sebagai pilihan kedua bagi memburu tempat ke suku akhir.

Dalam aksi beregu wanita, kemaraan gandingan remaja Malaysia, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan disekat oleh wakil tuan rumah, Moon In Seo-Park Seul 21-19, 18-21, 17-21 dalam masa 1 jam 5 minit. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top