Bukan sebab suami, Anne Ngasri dedah kenapa pilih UMNO! – “Orang tak tahu sebenarnya..”

Bukan sebab suami, Anne Ngasri dedah kenapa pilih UMNO! – “Orang tak tahu sebenarnya..”


Pelakon popular Datin Anne Ngasri menjelaskan penglibatannya dalam arena politik bukan semata-mata kerana suaminya Datuk Mohd. Sumali Reduan, sebaliknya dipengaruhi latar belakang keluarganya yang dekat dengan UMNO sejak kecil.

Anne berkata, bapanya Ngasri Sain yang menjadi pengacara Perhimpunan Agung UMNO selama hampir 36 tahun menyebabkan beliau membesar dalam suasana politik sekali gus sering mengikuti ke perhimpunan parti.

“Orang selalu ingat saya masuk politik kerana Sumali yang bawa saya. Tapi orang tak tahu sebenarnya bapa saya pengacara UMNO.
“Pengacara persidangan UMNO tu hampir 36 tahun. Jadi setiap kali persidangan UMNO, bapa sayalah yang duduk di atas pentas tepi tu yang akan umum, daripada zaman Mahathir (bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed) sehinggalah hari ini.

“Jadi saya membesar dalam keadaan politik. Saya pergi ikut bapa saya dan memang saya suka sebab saya akan berlegar-legar dekat PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra) untuk ikut bapa saya,” katanya dalam OMM Podcast.

Pemilik nama Naszriah Ngasri itu berkata, pengalaman melihat bapanya kekal bersama UMNO walaupun mempunyai kerjaya sebagai pengacara popular turut membentuk pandangannya terhadap politik dan kesetiaan kepada parti.

Menurutnya, bapanya memilih untuk terus terlibat dalam urusan parti kerana yakin dengan perjuangan UMNO meskipun keputusan itu mungkin memberi kesan terhadap kerjayanya.

“Saya rasa kalau darah politik tu sebenarnya mengalir sebab bapa saya.
“Kenapa dia tetap menjadi pengacara UMNO sedangkan dia boleh jadi pengacara yang popular yang tak perlu melibatkan politik dalam hidup dia.
“Tetapi kerana saya rasa dia yakin dan percaya yang parti dia sayang, sebab itu dia sanggup berkorban demi UMNO,” ujarnya.

Bagaimanapun, Anne mengakui perkahwinannya dengan suami pada 2012 yang aktif dalam politik menjadi antara faktor mendorongnya memahami perkara tersebut dengan lebih mendalam.

Beliau berkata, ketika mula memegang jawatan dalam UMNO, Sumali yang juga Setiausaha Kerja UMNO banyak membantunya memahami selok-belok politik termasuk urusan bahagian dan Parlimen.

“Dorongan apabila saya berkahwin dengan orang yang memang ada posisi dan jawatan dalam politik.
“Saya sebenarnya menjadi Ketua Puteri Cawangan dari 2019, kemudian saya naik kepada Ketua Puteri Bahagian.
“Masa tu saya dah berkahwin dengan Sumali, tetapi saya belajar tentang politik, tentang bahagian, tentang Parlimen dan politik yang lebih besar tu dengan suami sebab beliau betul-betul terlibat dalam politik,” kongsi wanita berusia 41 tahun itu.

Anne yang kini memegang jawatan Exco Wanita UMNO berkata, pengalaman melalui beberapa fasa politik turut mengubah perspektifnya terhadap perjuangan parti.

Katanya, beliau melihat politik bukan sebagai kerjaya peribadi sebaliknya satu bentuk khidmat sosial dan tanggungjawab untuk membantu parti.

“Pada saya politik itu sosial. Politik itu pada masa saya Puteri UMNO, saya faham ianya sosial bukan kerjaya. Sampai hari ini pun sebenarnya saya letakkan politik itu adalah sosial, bukannya kerjaya untuk saya.
“Sebab itu niat dan matlamat saya untuk membantu parti saja, tiada misi yang lebih untuk diri saya,” katanya.

Dalam pada itu, Anne berkata, cabaran sebagai isteri kepada seorang ahli politik turut memberinya pengalaman memahami perjalanan politik dari sudut yang berbeza.

Ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, sepanjang melalui proses berkenaan termasuk ketika parti berada di kerajaan dan ketika menjadi pembangkang, pengalaman itu cukup mematangkan dirinya dalam memahami politik.

“Sekarang cabaran tu banyaklah sebab saya lalui dengan suami ni satu proses yang kita pernah jadi kerajaan dan kita pernah tidak jadi kerajaan.
“Saya lalui sangat proses yang saya rasa walaupun singkat tapi cukup mematangkan tentang politik.
“Apa yang saya faham dan belajar sebenarnya politik ini tentang negara, tetapi ia bergantung kepada individu yang membawa perwatakan itu,” ujar beliau.

Anne turut menekankan bahawa keikhlasan menjadi perkara penting dalam politik kerana masyarakat akhirnya menilai seseorang pemimpin berdasarkan karakter dan niatnya.

Jelasnya, beliau sendiri memilih untuk kekal bersama parti tanpa mengikut mana-mana individu tertentu.

“Saya sangat yakin dan percaya keikhlasan adalah tema utama dalam setiap apa saja kerjaya yang kita buat.
“Saya seorang yang memang pembawa parti. Saya tidak membuat keputusan mengikut manusia. Saya tidak memilih untuk mengikut mana-mana orang.
“Saya hanya mempertahankan saja parti saya,” jelasnya.

Mengulas harapan terhadap kepimpinan wanita dalam politik, Anne berharap lebih banyak ruang diberikan kepada golongan berkenaan yang berkemampuan serta bersedia memikul amanah serta tanggungjawab.

Tambahnya, peluang kepada wanita dalam bidang kerjaya dan pendidikan kini semakin terbuka namun masih terdapat kekangan tertentu dalam politik.

Anne turut berharap masyarakat membuat pilihan politik berdasarkan pertimbangan masing-masing serta memastikan keamanan negara terus dipelihara.

“Harapan saya semestinya lebih banyak lagi wanita yang terlibat lebih tinggi jawatannya dalam dunia politik.
“Dalam politik ada sedikit kekangan. Saya harap dalam sudut politik tu bagilah peluang dan ruang sedikit kepada wanita yang mungkin saya rasa berkemampuan dan sanggup menerima amanah dengan tanggungjawab itu.
“Saya harap masyarakat hari ini bijak memilih parti mana yang mereka suka dan parti mana yang mereka ingin dukung.
“Semoga apa yang penting Malaysia ni sentiasa dalam keadaan aman dan berjaya, insya-Allah,” tambahnya.

Mengenai legasi yang mahu ditinggalkan, Anne berkata, matlamatnya adalah untuk melihat parti didukungnya kembali mentadbir negara.

“Kalau tanya matlamat saya, saya nak parti yang saya dukung itu mampu mentadbir semula kerajaan ini.
“Itu sebabnya saya berjuang sedikit hari ini kerana saya rasa saya tak nampak parti lain yang boleh membantu negara ini selain daripada parti saya,” kata Anne.





Source link

OR

Scroll to Top