Kuala Lumpur: Pelaksanaan sistem subsidi bersasar menerusi inisiatif BUDI MADANI Diesel berkesan membendung penyelewengan diesel apabila had pembelian menyukarkan sindiket mendapatkan bekalan dalam kuantiti besar pada harga rendah.
Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Mohd Zaki Ashar berkata langkah itu juga meningkatkan kos operasi sindiket yang mengambil kesempatan daripada perbezaan harga diesel bersubsidi dan harga pasaran.
Beliau berkata siasatan mendapati kebanyakan diesel yang diselewengkan dibawa ke negara jiran kerana harga yang lebih tinggi di pasaran itu membolehkan sindiket meraih keuntungan lebih besar.
“Pelaksanaan BUDI MADANI Diesel menjadi langkah yang berkesan untuk mengekang serta menurunkan kadar eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Melalui mekanisme kuota, individu tidak lagi boleh membeli melebihi had yang dibenarkan.
“Sekiranya pembelian melebihi kuota, diesel perlu dibeli pada harga tanpa subsidi menyebabkan peningkatan kos operasi sindiket yang mengurangkan margin keuntungan mereka,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Berhubung aktiviti penguatkuasaan, Mohd Zaki berkata anggota PDRM termasuk daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) ditempatkan bagi menjalankan pemantauan dan risikan di stesen minyak di kawasan sempadan yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi aktiviti penyelewengan itu.
Beliau berkata penguatkuasaan berterusan itu menyaksikan 11 individu ditahan serta rampasan bernilai RM2.09 juta membabitkan lima kes menerusi Ops Taring Bravo 1 (Diesel) di seluruh negara dari 1 Jan hingga 31 Julai.
Sindiket terlibat didapati menggunakan pelbagai modus operandi termasuk pembelian diesel secara berperingkat bagi mengelakkan dikesan serta menyalahgunakan kad fleet dengan berselindung di sebalik syarikat berlesen.
Mohd Zaki berkata polis biasanya mengesan kegiatan itu melalui risikan terhadap pergerakan lori tangki, aktiviti keluar masuk kenderaan itu yang luar biasa dan penyimpanan peralatan pemindahan minyak tanpa justifikasi munasabah.
“PDRM bukan sahaja menumpukan kepada rampasan diesel, malah memberikan keutamaan untuk melumpuhkan keseluruhan rangkaian sindiket termasuk individu yang mengawal dan membiayai kegiatan itu.
“Kejayaan membanteras penyelewengan diesel bukan hanya bergantung kepada serbuan tetapi hasil gabungan risikan yang berkualiti, kerjasama antara agensi dan maklumat daripada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata PDRM akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi penguatkuasaan berkaitan bagi membanteras kegiatan tersebut.
© New Straits Times Press (M) Bhd






