am@hmetro.com.my
Putrajaya: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail belum menerima maklumat berhubung sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor yang disyaki membawa dagangan untuk dieksport ke Israel.
Beliau berkata, pihaknya juga belum menerima taklimat berkaitan perkara itu.
“Saya belum dapat maklumat dan bila kejadian. Saya mohon maaf kerana belum mendapat taklimat berhubung perkara berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perlepasan Jelajah Star City FC-The Pride of the North 2026, di Dataran Masjid Putrajaya di sini, hari ini.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan, semalam memaklumkan menyita sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor, yang disyaki membawa dagangan untuk dieksport ke Israel.
AKPS memaklumkan kontena itu ditahan dan diperiksa susulan maklumat risikan yang diterima.
Menurutnya, semakan awal mendapati penghantaran berkenaan disyaki tidak mematuhi Item No 15, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023.
Peruntukan itu melarang pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel, selaras dengan dasar dan ketetapan Kerajaan Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd






