RCI TH: Kerajaan tidak akan bertolak ansur 

RCI TH: Kerajaan tidak akan bertolak ansur 

RCI TH: Kerajaan tidak akan bertolak ansur 


PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan bertolak ansur dan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa, penyelewengan, atau kelemahan pengurusan yang boleh menjejaskan kepentingan pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pihaknya menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menegaskan agar siasatan berhubung dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dijalankan secara menyeluruh dan tanpa sebarang kompromi.

Katanya, keprihatinan Seri Paduka Baginda menggariskan kepentingan utama dalam memelihara amanah serta keyakinan umat Islam terhadap institusi pengurusan haji dan kewangan Islam negara ini.  

“Tindakan tegas dan saksama berdasarkan lunas undang-undang sewajarnya diambil ke atas mana-mana individu atau entiti yang didapati bersalah melanggar amanah serta prinsip tadbir urus. 

“Kerajaan tidak akan bertolak ansur dan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa, penyelewengan, atau kelemahan pengurusan yang boleh menjejaskan kepentingan pendeposit TH,” katanya dalam kenyataan media.

Zulkifli berkata, setiap langkah penguatkuasaan dan penambahbaikan yang disyorkan oleh laporan RCI akan diperincikan secara teliti demi memastikan struktur tadbir urus TH diperkemaskan ke tahap tertinggi.

“Komitmen berterusan ini amat signifikan bukan sahaja untuk menegakkan keadilan dan akauntabiliti, malah bagi memastikan kesilapan terdahulu tidak akan berulang pada masa hadapan.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bertekad untuk memastikan TH terus kekal sebagai sebuah institusi pengurusan haji yang kukuh, berintegriti, dan sentiasa mendapat kepercayaan penuh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Semalam, Sultan Ibrahim menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Seri Paduka turut berkenan dipersembahkan taklimat siasatan RCI TH dan isu semasa membabitkan Felda.

Sultan Ibrahim menitahkan agar siasatan dijalankan ‘sehingga ke lubang cacing’ bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.-UTUSAN

 



Source link

OR

Scroll to Top