Pelakon AI China kenakan bayaran lebih RM100,000 untuk video kurang 20 saat

Pelakon AI China kenakan bayaran lebih RM100,000 untuk video kurang 20 saat


Shanghai: Pelakon wanita kecerdasan buatan (AI), Fang Taozi, dilaporkan mendapat bayaran sehingga 258,000 yuan (kira-kira RM156,384) untuk satu video promosi berdurasi lebih 60 saat termasuk meraih 250 juta tontonan untuk siri mini yang dibintanginya, lapor portal 8 Days.

Bintang drama mikro AI, ‘The Girl Who Got Laid Off’ itu dilaporkan menjadi antara jurucakap maya dengan bayaran tertinggi di China selepas mengumpul lebih 400,000 pengikut di Douyin hanya dalam tempoh 30 hari.

Taozi turut memperoleh tawaran kerjasama jenama pertamanya dengan syarikat kanta lekap berwarna, menerusi iklan yang menampilkan penempatan produk dan pengenalan produk secara lisan.

Menurut kadar harga yang disenaraikan di platform pemasaran Douyin, Taozi mengenakan 168,000 yuan (kira-kira RM101,842) bagi video berdurasi satu hingga 20 saat; 208,000 yuan (kira-kira RM126,090) bagi video 21 hingga 60 saat dan 258,000 yuan (kira-kira RM156,400) bagi video lebih 60 saat.

Kadar berkenaan dilaporkan meletakkannya mengatasi ramai pempengaruh yang mempunyai jutaan pengikut selain sesetengah pelakon manusia.

Bagi pengiklan, personaliti AI mempunyai kelebihan berbanding selebriti manusia kerana tidak meningkat usia, terpalit skandal atau membatalkan penggambaran secara tiba-tiba.

Mereka juga boleh menghasilkan kandungan sepanjang masa, tidak penat dan mengekalkan kehadiran berterusan di media sosial.

Taozi sebelum ini menjadi terkenal selepas drama berkenaan ditayangkan pada Jun dengan penonton tertarik kepada imej dan personalitinya yang menyerupai manusia sebenar.

Bagaimanapun, ada pihak mempersoalkan mengapa syarikat sanggup membelanjakan begitu banyak wang untuk watak yang sebenarnya tidak wujud, manakala sebahagian lain menganggap pempengaruh AI sebagai evolusi seterusnya dalam bidang pengiklanan selebriti.

Komen pengguna di TikTok turut mempersoalkan keberkesanan iklan berkenaan, termasuk sama ada pengguna akan membeli produk yang dipromosikan watak AI yang tidak pernah menggunakannya.

Kempen pertama Taozi turut menimbulkan persoalan dari sudut undang-undang kerana kanta lekap berwarna dikawal selia sebagai peranti perubatan Kelas III di China.

Menurut peguam, watak AI tidak boleh memakai atau menguji produk berkenaan, manakala Undang-Undang Pengiklanan China secara amnya menghendaki jurucakap manusia menggunakan produk yang mereka promosikan.

Difahamkan, walaupun undang-undang China tidak melarang watak AI muncul dalam iklan, pakar undang-undang memaklumkan, syarikat masih bertanggungjawab memastikan semua dakwaan pemasaran adalah benar.

s

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top