Bukan budak-budak lagi, sudah-sudahlah cari perhatian

Bukan budak-budak lagi, sudah-sudahlah cari perhatian

Bukan budak-budak lagi, sudah-sudahlah cari perhatian


Kalau sebut nama pelakon Iqram Dinzly, rasanya ramai sudah boleh agak apa yang bakal diperkatakan. Bukan lagi tentang naskhah lakonan atau pencapaian dalam dunia seni, sebaliknya kisah-kisah yang sering mengundang tanda tanya di media sosial.

Cik Bunga pun bukanlah jenis suka menjaga tepi kain orang. Tetapi memang sukar untuk tidak perasan dengan gelagat Iqram yang gemar mencuri perhatian, terutama ketika bersiaran secara langsung di media sosial.

Ada kalanya, cara dia berinteraksi dengan pengikut dan pelayar media sosial pula kedengaran kasar serta diselangi kata-kata yang kurang manis didengar. Entah apa yang cuba dibuktikan, Cik Bunga sendiri kurang pasti.

Hakikatnya, media sosial hari ini bukan sekadar tempat berhibur. Apa sahaja yang diperkatakan atau dilakukan boleh menjadi tontonan ramai, termasuk golongan muda yang mungkin menjadikan figura terkenal sebagai contoh.

Cik Bunga percaya setiap orang berhak menjadi diri sendiri dan mempunyai cara tersendiri untuk berhibur. Namun, sebagai individu yang dikenali ramai, sedikit sebanyak tanggungjawab itu tetap ada.

Tidak salah mencetuskan kelainan, tetapi biarlah kelainan itu memberi manfaat, bukannya sekadar mengundang kecaman atau menjadi bahan bualan.

Umur pula bukannya semakin muda. Sudah sampai masanya untuk menunjukkan sisi yang lebih matang dan menjadi pengaruh yang positif kepada masyarakat. Jika ada ruang untuk berkongsi perkara yang bermanfaat atau memberi inspirasi, bukankah itu lebih baik daripada terus mencetuskan kontroversi yang tidak berkesudahan?

Apa pun, Cik Bunga hanya mampu berharap agar Iqram dapat menggunakan platform yang dimiliki dengan lebih bijaksana. Populariti memang boleh dicari dengan pelbagai cara, tetapi penghormatan daripada masyarakat hanya datang apabila seseorang itu tahu menjaga tutur kata dan tingkah lakunya.



Source link

OR

Scroll to Top