Bang Kruai, Thailand: Bapa kepada remaja 14 tahun yang disyaki menjadi dalang tragedi tembakan rambang di Sekolah Debsirin Nonthaburi di sini, memohon maaf secara terbuka kepada semua mangsa dan ahli keluarga yang terjejas dalam kejadian berdarah itu.
Sekolah itu terletak di daerah Bang Kruai, wilayah Nonthaburi, di pinggir bahagian barat laut Bangkok.
Dalam kenyataan ringkasnya kepada media sewaktu keluar dari Balai Polis Plai Bang dekat sini, selepas dipanggil memberi keterangan, semalam, lelaki berkenaan menyatakan rasa kesal yang amat mendalam atas tindakan anaknya.
“Saya memohon maaf. Saya benar-benar memohon maaf kepada semua keluarga mangsa,” katanya seperti dilaporkan ABC News.
Suspek remaja berkenaan dilaporkan melepaskan tembakan di sekolahnya pada Jumaat lalu, mengorbankan enam nyawa di premis berkenaan sebelum bertindak menembak dirinya sendiri.
Polis mengesahkan bahawa beberapa jam sebelum kejadian di sekolah, remaja itu disyaki turut menembak mati datuk dan neneknya di rumah mereka di wilayah Nonthaburi, terletak berhampiran ibu kota Bangkok.
Menurut Kementerian Kesihatan Thailand, sekurang-kurangnya 14 mangsa masih dirawat di hospital, dengan tujuh daripada mereka berada dalam keadaan kritikal setakat Sabtu lalu. Kebanyakan mangsa yang cedera berusia antara 12 hingga 14 tahun.
Tragedi ini mencatatkan lebih 20 individu cedera dan menjadi kes tembakan beramai-ramai terburuk di Thailand sejak 2022, sekali gus mencetuskan semula perdebatan hangat berhubung kawalan senjata api di negara yang mempunyai kadar pemilikan senjata api tertinggi di Asia Tenggara itu.
Sementara itu, pihak berkuasa terus menjalankan siasatan mendalam bagi mengenal pasti punca kejadian. Hasil siasatan awal polis pada semalam mendapati remaja berkenaan banyak mempelajari cara penggunaan senjata api melalui media sosial dan kerap menonton kandungan berunsur ketenteraan serta keganasan secara dalam talian.
Pihak polis turut mendedahkan bahawa suspek pernah dirampas sebuah senapang angin (air gun) oleh gurunya di sekolah pada tahun lalu akibat tindakan serupa.
“Berdasarkan temu bual bersama saksi, pelaku mula menunjukkan minat untuk mempelajari penggunaan senjata api sejak satu hingga dua tahun lalu,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Wilayah, Atthapol Anusit.
Beliau menambah, setakat ini polis merakam keterangan daripada 17 saksi. Sebilangan bahan bukti turut dirampas di lokasi kejadian termasuk sebilah pisau di dalam beg suspek, senjata api, kelongsong peluru, serta sebuah komputer peribadi.
Siasatan turut mendapati suspek tinggal bersama datuk dan neneknya selama 12 tahun selepas ibu bapanya berpisah.
© New Straits Times Press (M) Bhd
