'Penghalau monyet' jaga Kejohanan Badminton Dunia

'Penghalau monyet' jaga Kejohanan Badminton Dunia


New Delhi: Jangan terkejut jika terdengar bunyi lolongan lotong ketika berkunjung ke venue Kejohanan Dunia Badminton di New Delhi minggu depan.

Ia bukan bunyi daripada haiwan sebenar, sebaliknya datang daripada sekumpulan kecil petugas yang mempunyai kemahiran luar biasa iaitu meniru bunyi lotong bagi menghalau monyet.

Monyet rhesus sememangnya menjadi masalah di ibu negara India apabila haiwan itu kerap memasuki bangunan selain menyerang pejalan kaki atau penghuni kediaman.

Namun, lotong yang mempunyai saiz lebih besar dan muka berwarna hitam menjadi ‘senjata’ untuk mengatasi masalah berkenaan dan sering digunakan di pejabat kerajaan.

Selain menggunakan lotong sebenar, individu yang mampu meniru bunyi haiwan berkenaan turut mendapat permintaan tinggi kerana bunyi itu dipercayai mampu membuatkan monyet menjauhkan diri.

Persatuan Badminton India (BAI) sebelum ini berdepan situasi memalukan apabila seekor monyet dikesan berkeliaran di tempat duduk penonton ketika Terbuka India di Stadium Tertutup Indira Gandhi, awal tahun ini.

Zafar, seorang daripada individu yang mempunyai kemahiran meniru bunyi lotong, menunjukkan kebolehannya kepada media ketika lawatan ke stadium, semalam.

“Monyet sangat takut dengan lotong, sebab itu teknik meniru bunyi ini amat berkesan.

“Saya sudah berkhidmat di beberapa pejabat kerajaan dan matlamatnya bukan untuk mencederakan monyet, sebaliknya memastikan haiwan itu tidak datang,” katanya.

India yang bakal menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2030 selain membida untuk menganjurkan Sukan Olimpik 2036, melihat Kejohanan Dunia Badminton sebagai peluang membuktikan kemampuan negara itu menganjurkan acara sukan bertaraf dunia.

Bagaimanapun, monyet bukan satu-satunya masalah haiwan yang perlu ditangani penganjur.

Populasi burung merpati yang tinggi di New Delhi turut menjadi cabaran apabila perlawanan pada Terbuka India terpaksa dihentikan dua kali selepas burung berkenaan mengotorkan gelanggang, selain pemain mengadu mengenai tahap kebersihan.

Sebagai langkah pencegahan, gel tidak toksik yang biasa digunakan pada pendawaian landasan kereta api disapu di bumbung dan saluran udara stadium bagi menghalang burung merpati daripada bersarang.

“Kami sudah menangani masalah yang timbul ketika Terbuka India.

“Kementerian Sukan melakukan banyak penambahbaikan terhadap kemudahan ini dan BWF 100 peratus berpuas hati dengan persiapan yang dibuat,” kata Setiausaha Agung BAI, Sanjay Mishra.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top