PETALING JAYA: Malaysia terus mengganas di Piala Raja Thai 2026 apabila menyingkirkan Indonesia 2-0 pada aksi separuh akhir acara regu berpasukan lelaki di Fashion Island Mall, Bangkok, sebentar tadi.
Kemenangan bergaya itu menyaksikan skuad negara menempah tiket ke final untuk berdepan tuan rumah Thailand yang turut melangkah ke perlawanan penentuan, esok.
Aksi final dijadualkan berlangsung pada jam 12 tengah hari waktu Malaysia dan menjadi peluang terbaik buat anak buah negara memburu kejuaraan pada edisi ke-39 kejohanan berprestij itu.
Regu pertama negara yang dibarisi Zarif Marican Ibrahim selaku tekong bersama Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Kamarul Ezzad Kamarul Imran terlebih dahulu meletakkan Malaysia di depan.
Gandingan berkenaan tampil kemas untuk menundukkan regu Indonesia 2-0 menerusi kemenangan 15-13, 15-9, sekali gus memberikan suntikan keyakinan kepada regu kedua.
Malaysia kemudian terus menekan apabila regu kedua yang menampilkan Muhammad Haziq Hairul Nizam, Hafizul Hayazi Adnan dan Zuleffendi Sumari turut tidak berdepan masalah untuk menewaskan lawan 2-0, 15-10, 15-8.
Keputusan itu membolehkan Malaysia mengesahkan kemenangan 2-0 tanpa perlu menurunkan regu ketiga, sekali gus menjimatkan tenaga menjelang pertembungan penting dengan Thailand.
Kemaraan ke final itu meneruskan momentum positif skuad negara selepas menewaskan Vietnam 2-1 pada suku akhir sebelum mengatasi Indonesia di separuh akhir.
Kini, Thailand menjadi penghalang terakhir buat Malaysia dalam misi memburu gelaran Piala Raja Thai 2026, dengan aksi final esok dijangka berlangsung sengit di gelanggang sendiri pasukan tuan rumah.-UTUSAN
