Silverstone: Jack Miller menegaskan dia “tidak berdendam” susulan kariernya dalam MotoGP yang semakin menuju penghujung, sambil menyatakan jika Yamaha “tidak nampak nilai” dirinya, dia menerima keputusan itu.
Pelumba Australia itu membuat penampilan sulung dalam MotoGP pada 2015 selepas menandatangani kontrak tiga tahun bersama Honda untuk terus melangkah ke kelas utama daripada Moto3.
Miller pernah beraksi bersama LCR Honda, Marc VDS Honda, Pramac Ducati, Ducati, KTM dan Pramac Yamaha, selain memenangi empat perlumbaan sepanjang kariernya dalam MotoGP.
Namun, perjalanan Miller dalam MotoGP kini semakin hampir ke penghujung apabila Pramac dijangka menggantikannya dengan pendahulu Moto2, Izan Guevara.
Miller antara beberapa pemenang perlumbaan yang bakal kehilangan tempat di grid MotoGP pada 2027, namun dia menegaskan dirinya “tidak berdendam” dengan keadaan berkenaan.
“Tidak, maksud saya, saya tidak berdendam. Saya tidak berdendam dengan apa-apa pun.
“Saya sudah melalui perjalanan yang baik dan jika mereka (Yamaha) tidak nampak nilai saya, itu tidak mengapa. Saya tidak kisah.
“Seperti yang saya katakan, saya rasa saya adalah aset kepada mana-mana pasukan yang saya sertai, tidak kira dalam kejuaraan mana saya beraksi.
“Saya tidak mahu berada di tempat yang tidak mahukan saya. Jadi, saya akan pergi dan berharap dapat melakukan sesuatu di tempat yang menghargai saya,” katanya kepada media termasuk Crash di Silverstone, Ahad lalu.
Miller diberikan peluang kedua oleh Pramac untuk musim 2025 selepas melalui tempoh sukar bersama KTM, manakala prestasi kukuhnya musim lalu membawa kepada lanjutan kontrak ketika Yamaha meneruskan pembangunan projek enjin V4.
© New Straits Times Press (M) Bhd
