KOTA BHARU: Kelantan kekal sebagai negeri yang memiliki keluasan tanah rizab Melayu tertinggi di Semenanjung Malaysia.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, sehingga Jun lalu, jumlah keseluruhan keluasan tanah berhak milik bagi Kelantan ialah 574,427.6087 hektar, melibatkan 859,275 hak milik.
Katanya, daripada jumlah tersebut, keluasan tanah rizab Melayu ialah 526,083.0796 hektar, bersamaan 91.5839 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah berhak milik yang melibatkan 816,020 hak milik.
“Baki tanah bukan rizab Melayu ialah 48,344.5291 hektar, bersamaan 8.4161 peratus yang melibatkan 43,255 hak milik. Angka ini adalah jumlah yang diselaraskan bagi semua 11 jajahan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Yunus (Pas-Pasir Tumboh) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti berkata, lebih sembilan per sepuluh daripada keluasan tanah berhak milik negeri berada dalam kategori tanah rizab Melayu dengan Gua Musang merekodkan keluasan terbesar, iaitu 122,735.5417 hektar.
Katanya, ia diikuti Pasir Mas sebanyak 56,656.7894 hektar, Tanah Merah (56,246.1290) hektar dan Kuala Krai sebanyak 53,473.8493 hektar.
“Dari segi peratusan, Tanah Merah merekodkan kadar tertinggi, iaitu 99.9982 peratus. Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Pasir Mas, Kota Bharu dan Jeli juga masing-masing merekodkan kadar melebihi 99 peratus.
“Oleh yang demikian, tidak berlaku penyusutan kawasan rizab Melayu di Kelantan kerana Seksyen 13A Enakmen Rizab Melayu Kelantan membenarkan pemilikan tanah kepada bukan Melayu dalam Rizab Melayu,” ujarnya. – UTUSAN
