Berlari pada waktu malam bukan lagi sekadar mengejar jarak dan masa, sebaliknya menjadi pengalaman santai yang menggabungkan kecergasan, muzik, warna-warni serta keseronokan bersama rakan dan keluarga.
Itulah suasana yang dibawa menerusi ‘Cyberjaya Neon Night Run 2026’ yang berlangsung di Rekascape, Persiaran APEC, Cyberjaya, 1 Ogos lalu.
Berbeza daripada larian biasa yang lebih menumpukan kepada pencapaian masa dan prestasi, acara berkonsepkan neon itu menawarkan pengalaman lebih santai apabila peserta hadir untuk beriadah sambil menikmati kemeriahan suasana malam.
Lebih menarik, semua peserta dibekalkan aksesori bercahaya termasuk cermin mata berlampu, lampu berkelip serta gelang ‘glow in the dark’, menjadikan mereka kelihatan lebih menyerlah ketika bergerak sepanjang laluan.
Selain mengejar garisan penamat, semangat kebersamaan menjadi antara tarikan utama apabila peserta daripada pelbagai peringkat usia berkumpul dengan satu tujuan iaitu berseronok sambil kekal aktif.
Ada yang datang bersama keluarga, tidak kurang juga yang menjadikan acara itu sebagai aktiviti bersama rakan-rakan.
Dalam suasana santai, setiap peserta bebas menikmati larian mengikut kemampuan masing-masing tanpa terlalu mengejar catatan masa, walaupun syarat untuk mendapatkan medal diberikan adalah satu jam untuk kategori lima kilometer.
© New Straits Times Press (M) Bhd
