Selepas 4 hari, jasad Rayyan ditemukan di Sungai Kelantan


am@hmetro.com.my

Kuala Krai: Penantian keluarga Muhamad Rayyan Hakimie Mohd Yusmiza, 14, yang dikhuatiri lemas di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Aur Duri sejak empat hari lalu berakhir apabila jasad mangsa ditemukan orang di Kampung Bandar Pulai Chondong, Machang pada jam 2.50 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penguasa Bomba Kanan Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, mayat mangsa ditemukan pada jarak kira-kira 51 kilometer dari lokasi dia dipercayai lemas di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Aur Duri, Kuala Krai.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, ibunya, Norhasmiza Kamarudin, 39, berkata, mereka sekeluarga bersyukur kerana jasad anaknya akhirnya ditemui selepas empat hari hilang selepas dikhuatiri lemas di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Aur Duri.

Katanya, penemuan jasad anak kedua daripada tiga beradik itu mengakhiri penantian dan usaha pencarian yang dilakukan pasukan keselamatan serta penduduk kampung sejak kejadian berkenaan.

“Sebagai seorang ibu, saya amat berharap Rayyan ditemui dalam keadaan selamat, tetapi Allah SWT menentukan sebaliknya.

“Walau bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana selepas empat hari, akhirnya kami mendapat jawapan dan dapat membawa pulang jasad anak untuk disemadikan dengan sempurna,” katanya.

Katanya, dia turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan penyelamat serta semua pihak yang terbabit kerana bertungkus-lumus mencari Rayyan sejak hari pertama kejadian.

“Jenazah anak saya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Aur Duri lewat petang ini,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.39 petang Selasa lalu, Muhamad Rayyan Hakimie dan Muhammad Lut Na’iman Mohd Noor Aziron, 14, dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai berkenaan bersama tiga lagi rakan mereka.

Bagaimanapun, mayat Muhammad Lut Na’iman ditemukan di dasar sungai oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) kira-kira jam 9.10 pagi kelmarin, sekitar 50 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top