Sinar baharu buat anak-anak Chow Kit menerusi inisiatif WCTGives "Brightening Lives" 2.0


Didorong oleh keprihatinan berkenaan, WCT Holdings Berhad (WCT) meneruskan komitmen kemasyarakatannya menerusi fasa kedua program WCTGives “Brightening Lives” 2.0, sebuah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah tonggak #EducationforAll.  

Menerusi program ini, WCT menyumbang kira-kira RM34,000 bagi menaik taraf kemudahan di pusat pembelajaran Buku Jalanan Chow Kit (BJCK).  

Langkah berkenaan bertujuan menyediakan persekitaran yang lebih selamat, bersih dan selesa buat lebih 150 kanak-kanak serta remaja terpinggir berusia tujuh hingga 18 tahun yang menerima bimbingan di pusat berkenaan.  

Usaha penambahbaikan merangkumi ruang guna sama dari tingkat bawah hingga tingkat satu, termasuk pintu masuk utama, laluan tangga, bilik simpanan, kemudahan pencahayaan, kawalan perosak, serta penghasilan dua lukisan mural untuk menceriakan suasana.

Sokong persekitaran kondusif

FOTO WCT

Mengulas mengenai komitmen syarikat, Pengarah Urusan Kumpulan WCT, Datuk Lee Tuck Fook berkata, sokongan bermakna bermula dengan memahami keperluan sebenar komuniti yang dibantu.  

“Di WCT, kami percaya bahawa sokongan yang bermakna bermula dengan memahami keperluan komuniti yang kami santuni dan bantu.  

“Menerusi WCTGives Brightening Lives 2.0, kami berbesar hati dapat meneruskan sokongan kepada Buku Jalanan Chow Kit dengan membantu mewujudkan persekitaran tempat kanak-kanak dapat belajar dan membesar dengan lebih yakin.  

“Inisiatif ini mencerminkan hasrat utama WCTGives di bawah tonggak #EducationforAll serta komitmen kami untuk menjadikan pendidikan lebih mudah diakses dan inklusif,” katanya.

Perkasakan aktiviti harian

Bagi merasmikan penyelesaian kerja-kerja naik taraf tersebut, satu majlis penyerahan ringkas telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi – Pembangunan Hartanah WCT, Chong Wah Hing bersama warga BJCK.  

Wah Hing menjelaskan persekitaran yang selamat, mudah diakses dan berfungsi memainkan peranan penting dalam menyokong aktiviti harian serta pengalaman belajar kanak-kanak.  

“Melalui “Brightening Lives” 2.0, kami telah menaik taraf kawasan guna sama utama di pusat pembelajaran BJCK demi keselesaan dan kemudahan yang lebih baik kepada para pelajar, 18 warga pendidik dan pelawat.  

“Kami berharap penambahbaikan ini dapat menyokong usaha berterusan BJCK dalam membimbing dan mendidik kanak-kanak di bawah jagaan mereka,” katanya ketika majlis penyerahan berkenaan.

Sentuhan bermakna

FOTO WCT

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Halatuju Strategik BJCK, Siti Rahayu Baharin meluahkan rasa teruja dan penghargaan mendalam atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh pihak WCT.  

“Saya sebenarnya sangat teruja dan berterima kasih. Umum mengetahui kalau di kawasan Chow Kit ini, laluan tangga selalunya menakutkan disebabkan keadaannya yang gelap dan berbau.

“Namun, pihak WCT sudi sudi tampil dengan inisiatif ini demi memastikan anak-anak berasa lebih gembira untuk datang ke sekolah. Saya amat berbesar hati dan sungguh gembira dengan perubahan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top