Ancaman bom tidak halang rakyat Malaysia ke Thailand


TUMPAT: Ancaman letupan bom dan tembakan di beberapa kawasan di Thailand tidak menghalang rakyat Malaysia menjadikan negara ‘Gajah Putih’ itu sebagai destinasi percutian hujung minggu apabila Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor sesak.

Tinjauan Utusan Malaysia di pintu sempadan Malaysia-Thailand itu mendapati, kenderaan rakyat Malaysia beratur panjang untuk melepasi sempadan, malah kesesakan dilaporkan berlaku hingga ke luar pagar ICQS.

Seorang pelancong, Mohd. Razman Abdullah, 45, berkata, dia yakin Thailand masih selamat untuk dikunjungi meskipun beberapa kejadian letupan bom dan tembakan dilaporkan berlaku sejak akhir-akhir ini.

“Saya masuk untuk bercuti dua hari bersama keluarga di Patani, Thailand. Saya yakin masih selamat untuk melancong ke Thailand,” katanya.

Bagi Wan Halimah Wan Harun, 38, dia kerap berkunjung ke Thailand untuk menikmati makanan selain membeli-belah.

Bagaimanapun, katanya, dia tetap berhati-hati dengan mengelak kawasan panas yang sering menjadi sasaran letupan bom.

“Rakyat Thailand selalu pesan kalau masuk ke Thailand, jangan keluar waktu malam kerana bahaya, terutama di kawasan tiga wilayah di Selatan Thailand,” ujarnya.

Sementara itu penduduk tempatan, Hashim Mohd. Yunus, 55, berkata, kesesakan di ICQS Pengkalan Kubor bukan perkara baharu setiap kali hujung minggu.

“Biasanya hari minggu, kenderaan beratur hingga ke luar pagar ICQS. Kadangkala petang Khamis lagi sudah sesak dengan pelancong Malaysia,” katanya.

Pada 29 Jun lalu, polis menasihatkan penduduk negeri ini menangguhkan sementara perjalanan ke selatan Thailand susulan dua rakyat Malaysia cedera selepas kenderaan pelbagai guna (SUV) dinaiki mereka ter­kena letupan bom buatan sendiri (IED).-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top