El Nino bakal jadikan 2026 tahun paling panas


SYDNEY: Data baharu menunjukkan fenomena El Nino yang semakin menguat berpotensi menjadikan 2026 tahun paling panas pernah direkodkan.

Kajian Berkeley Earth mendapati terdapat kebarangkalian 69 peratus 2026 akan menjadi tahun paling panas pernah direkodkan, sekali gus mengatasi rekod 2024.

Kajian itu turut menganggarkan kebarangkalian 30 peratus 2026 menjadi tahun kedua paling panas, menunjukkan dunia berkemungkinan berdepan musim panas yang amat terik.

“Walaupun enam bulan pertama 2026 merupakan permulaan tahun ketiga paling panas pernah direkodkan, fenomena El Nino yang semakin kuat dijangka meningkatkan purata suhu tahunan sehingga 2026 berada di tempat pertama atau kedua.

“Kebarangkalian itu meningkat selepas Julai lalu direkodkan sebagai bulan Julai kedua terpanas di dunia.

“Bulan yang panas itu diikuti perkembangan pesat fenomena El Nino di kawasan tropika Lautan Pasifik, sekali gus mengukuhkan jangkaan fenomena berkenaan mungkin menjadi yang paling kuat pernah direkodkan,” jelas kajian itu.

Memandangkan El Nino dikaitkan dengan peningkatan suhu permukaan laut di kawasan tengah dan timur Pasifik tropika, fenomena itu lazimnya menyebabkan peningkatan suhu purata global.

Fenomena El Nino yang lebih kuat juga memberikan kesan pemanasan yang lebih ketara terhadap iklim dunia.

Pakar memberi amaran keadaan itu berkemungkinan menjadi lebih buruk pada 2027.

Menurut Berkeley Earth, kesan El Nino terhadap suhu global yang berlaku selepas kemuncaknya di Pasifik dijangka membawa pengaruh pemanasan yang lebih besar, sekali gus meningkatkan kemungkinan satu lagi rekod suhu baharu dicatatkan pada 2027.-AGENSI



Source link

OR

Scroll to Top