Pusat tahanan dah tak mampu tampung! Malaysia-Filipina percepat penghantaran pulang lebih 5,000 PATI


Malaysia dan Filipina membincangkan langkah mempercepat proses penghantaran pulang lebih 5,000 pendatang tanpa izin dari Filipina yang kini berada di empat pusat tahanan di Sabah.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, saringan oleh Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur mengenal pasti lebih 1,000 individu daripada jumlah itu yang boleh dihantar pulang.

“Jadi kita berbincang tadi bagaimana untuk mempercepat proses menghantar pulang pendatang tanpa izin dari Filipina oleh kerajaan negara itu melalui jalan laut atau apa jua cara.
“Pusat tahanan ini sudah tidak mampu menampung jumlah tahanan yang begitu ramai,” katanya kepada BERNAMA selepas Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) Malaysia-Filipina kesembilan di Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina di sini pada Selasa.

Mohamad berkata, Malaysia mahu kerajaan Filipina mengambil tindakan segera untuk membawa pulang tahanan terbabit ke negara asal, manakala proses saringan bagi kumpulan seterusnya akan diteruskan.

Kedua-dua negara turut membincangkan isu pendidikan anak warga Filipina di Sabah, dengan Malaysia bersetuju meneliti keperluan menyediakan kelas pembelajaran bagi membolehkan mereka meneruskan pendidikan sebelum dihantar pulang.

Artikel lain: Hantar pelarian Myanmar pulang? Malaysia utamakan keselamatan, tak mahu dilihat tiada perikemanusiaan

Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang kemudahan pendidikan berkenaan perlu diuruskan kerajaan Filipina bagi memastikan ia dikawal selia dengan baik.

“Kita tidak mahu ada sekolah persendirian ditubuhkan dan kemudiannya tidak dapat dikawal,” katanya.

Sementara itu, berhubung isu tuntutan Sabah oleh pihak tertentu di Filipina, Mohamad berkata perkara itu tidak dibincangkan secara langsung dalam JCM.

Namun, beliau meminta Filipina menghormati undang-undang serta pengiktirafan antarabangsa bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia.

“Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebahagian daripada Malaysia. Jadi tidak timbul isu untuk mereka mengatakan Sabah bukan wilayah Malaysia,”ujar beliau.

Terdahulu, Mohamad mempengerusikan JCM bersama Setiausaha Luar Filipina, Ma. Theresa P Lazaro.

Sumber: BERNAMA





Source link

OR

Scroll to Top