Bersatu masih dalam gabungan PN di Perlis


PADANG BESAR: Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) belum menetapkan sebarang keputusan berhubung kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, buat masa ini, Bersatu dalam konteks Perlis masih berada dalam gabungan PN selagi mana tiada sebarang keputusan dibuat oleh pucuk pimpinan.

Beliau berkata, setiap wakil rakyat Bersatu juga turut berpegang kepada watikah pelantikan di bawah PN dan terikat dengan Akta Lompat Parti.

“Wakil rakyat Bersatu masih terikat dengan Akta Lompat Parti dan kita akan buat keputusan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ,” katanya di sini, semalam.

Bulan lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor berkata, parti itu akan membentuk gabungan baharu yang lebih hebat bersama beberapa parti lain selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Muhyiddin berkata, gabungan baharu berkenaan antara lain turut membabitkan parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) antaranya Putra dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).

Abu Bakar berkata, secara kesuruhan, beliau melihat Bersatu perlu mengkaji semula beberapa tindakan termasuk melibatkan isu penyingkiran ahli dan hubungan dengan parti-parti kompenan gabungan itu.

“Bersatu perlu cari langkah untuk kembalikan semula dan perbaiki hubungan antara parti komponen dalam PN,” katanya.

Katanya, pucuk pimpinan Bersatu berkemungkinan mempunyai perancangan bagi meneroka kerjasama lain namun perkara itu terletak kepada suasana politik semasa.

“Sebelah selatan mungkin politik cara lain, sebelah utara mungkin beza, jadi kita kena lihat dari pelbagai sudut. Lain padang, lain belalang.

“Kalau gerak solo, mustahil untuk Bersatu menang dan Bersatu mesti duduk dalam satu gabungan,” katanya.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top