Kuala Lumpur: Kerajaan terus memperkukuh agenda kesejahteraan rakyat menerusi penyerahan Rumah Kasih Ihsan kepada golongan memerlukan di Jeli, Kelantan, sebagai usaha memastikan mereka menikmati kediaman yang lebih selamat, selesa dan bermaruah.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkongsi kejayaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Kelantan yang menyerahkan unit Rumah Kasih Ihsan kepada dua penerima di Jajahan Jeli.
Komitmen tersebut dilaksanakan Pasukan Penyelarasan PMX, ICU JPM Kelantan dan penyerahan rumah terbabit disempurnakan Pengarah ICU JPM Kelantan Dr Wan Nur Ibtisam Wan Ismail, hari ini.
Bagi rumah pertama, Surat Setuju Terima (SST) pembinaan rumah disampaikan kepada Yusof Mohamed Nawawi di Kampung Renyut, Jeli bagi menggantikan kediaman sedia ada dengan rumah yang lebih selesa dan selamat.
Rumah kedua milik Shamsul Bahri Che Musa pula telah siap dibina dan diserahkan kepada penerima.
Selain kediaman, kedua-dua penerima turut menerima sumbangan bakul makanan sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mereka.
Menurut ICU JPM Kelantan, rumah yang selamat dan selesa bukan sekadar tempat berteduh, sebaliknya menjadi asas kepada kehidupan yang lebih sejahtera dan bermaruah.
Usaha berkenaan turut mencerminkan komitmen Pasukan Penyelarasan PMX dan ICU JPM Kelantan untuk memastikan golongan yang memerlukan mendapat kediaman lebih baik menerusi inisiatif Rumah Kasih Ihsan.
ICU JPM Kelantan memaklumkan pembangunan yang bermakna tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan kemajuan fizikal, sebaliknya sejauh mana manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
“Rumah yang lebih selamat bukan sekadar menyediakan tempat berteduh, malah membina harapan, keyakinan dan kehidupan yang lebih sejahtera,” menurut hantaran itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
