PETALING JAYA: Bukan semua individu yang menjalankan urusan di kaunter jabatan itu bertujuan untuk memohon atau mendapatkan MyKad.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata, sebaliknya perkhidmatan kaunter menyediakan pelbagai urusan pendaftaran dan dokumentasi untuk warga asing termasuk pendaftaran kelahiran anak yang perlu dilakukan tanpa mengira kewarganegaraan ibu bapa.
Justeru jabatan itu menafikan dakwaan tular yang mengaitkan kehadiran ramai warga asing di kaunter agensi tersebut kononnya untuk permohonan MyKad.
“Terdapat urusan lain di JPN yang melibatkan warga asing, termasuk perkahwinan sivil antara pasangan warga asing. Sijil kelahiran berwarna merah jambu merupakan bukti bahawa kelahiran telah didaftarkan di Malaysia, tetapi ia tidak bermaksud kanak-kanak tersebut adalah warganegara Malaysia. Sijil ini turut dikeluarkan kepada bukan warganegara.
“Justeru, jangan membuat kesimpulan hanya berdasarkan kehadiran seseorang di JPN atau berdasarkan sekeping gambar tanpa mengetahui urusan sebenar yang sedang dijalankan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Video yang tular semalam didakwa menunjukkan beberapa pelarian Rohingya berada di sebuah pejabat JPN, dengan seorang pengguna X mendakwa mereka berada di situ untuk mendapatkan MyKad. – UTUSAN
