China anggap sekatan, tekanan AS terhadap Iran bukan penyelesaian


BEIJING: China pada Jumaat menegaskan sekatan dan tekanan Amerika Syarikat (AS) tidak akan menyelesaikan konflik di Asia Barat, selepas Washington menggesa kerajaan termasuk Beijing menyertai usaha untuk mengasingkan ekonomi Iran.

AS sebelum ini mengancam untuk meruntuhkan rejim Iran menerusi kempen tekanan ekonomi yang dicadangkannya, manakala Teheran menyifatkan langkah itu sebagai keganasan ekonomi yang pasti gagal, hampir enam bulan selepas perang antara kedua-dua negara bermula.

Ketika ditanya mengenai ancaman Presiden AS, Donald Trump, jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian berkata, sekatan dan tekanan tidak akan membantu menyelesaikan isu berkenaan.

“China menggesa semua pihak berkaitan mengambil langkah bertanggungjawab dan menyelesaikan masalah melalui kaedah politik serta diplomatik,” katanya kepada pemberita.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent sebelum ini mempertahankan usaha Trump untuk meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Teheran.

Ketika ditanya sama ada AS akan menekan China supaya menyertai kempen berkenaan, Bessent memberitahu CNBC, banyak perbincangan lebih baik dilakukan secara tertutup, namun menggesa Beijing menyertai usaha tersebut.

Jian turut menegaskan keperluan semua pihak mengambil langkah bertanggungjawab dalam usaha menamatkan perang ketika ditanya mengenai kenyataan Bessent.

“China menentang sekatan unilateral yang tidak sah, tidak mempunyai asas dalam undang-undang antarabangsa dan tidak mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.-AFP



Source link

OR

Scroll to Top