sukan@hmetro.com.my
Kota Bharu: Pasukan pilihan, Selangor FC terpaksa bermandi peluh sebelum menjinak Kelantan Red Warrior (KRW) 4-1 dalam aksi pembukaan Liga Super 2026/27 di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, sebentar tadi.
Terlebih dahulu, semangat kedua pasukan mencari gol pertama terencat dengan keadaan cuaca hujan dan ribut petir selepas hanya sempat memanas badan lapan minit di atas padang.
20 minit selepas cuaca kembali tenang, aksi disambung dengan pelawat membuat beberapa percubaan gol termasuk hantaran Selvan Anbualagan bijak disempurnakan tandukan Chrigor Flores Moraes jaringan pertama Selangor, minit ke 17.
Minit ke 27, kesilapan penjaga gol KRW, Amin Faisal Mohd Saidi jauh meninggalkan gawang ternyata dimanfaatkan sebaiknya pemain berpengalaman, Faisal Halim untuk mudah melorong gol kedua Red Giants.
Sebaik memasuki babak kedua, Faisal Halim terus menambah derita tuan rumah dengan gerakan lincah minit 49 untuk jaringan gol ketiga Selangor.
Kem tuan rumah akhirnya boleh menarik nafas lega dengan jaringan tunggal Philip Dandada Musa minit ke 60.
Belum sempat tuan rumah merayakan kejayaan gol, Chrigor Flores sekali lagi menanduk deras gol menewaskan Amin Faisal minit ke 75.
© New Straits Times Press (M) Bhd
