Johor raih emas sulung bola sepak lelaki Sukma


JOHOR melakar sejarah apabila meraih pingat emas sulung bola sepak lelaki Sukan Malaysia (Sukma) selepas menewaskan Selangor 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final edisi 2026 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, malam ini.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan dalam aksi sengit yang disaksikan kira-kira 10,000 penonton.

Dalam penentuan itu, Muhammad Daniesh Amirruddin, Arayyan Hakeem Norizam, Izzuddin Arif Nazarudin dan Muhammad Naim Zainuddin tenang menyempurnakan sepakan masing-masing untuk memastikan kemenangan Johor kendalian Pedro Collado Celda.

Selangor pula hanya berjaya menerusi Muhammad Danial Hqzeiry Mohd Amin dan Ahmad Zamil Zaqwan Samsulkama, manakala percubaan Hafifi Muhtadee Billah Zailani dan Muhammad Zarul Aidid Mokhtar berjaya diselamatkan penjaga gol Johor, Muhammad Danial Idraqi Mohd Asmir.

Terdahulu, Muhammad Daniesh meletakkan Johor di depan pada minit ke-20 menerusi rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol Selangor, Muhammad Farish Farhan Mohd Zalani.

Selangor yang dibimbing I. Arulchelvan bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Ahmad Lutfil Hadi Sahabudin menjatuhkan Muhammad Haykal Danish Mohd Haizon pada minit ke-28.

Muhammad Haykal tenang menyempurnakan sepakan penalti itu dua minit kemudian untuk menjadikan kedudukan 1-1 yang kekal sehingga tamat babak pertama.

Pemain Selangor, Rohisham Haiqal Hashim mengasak pemain Johor pada perlawanan akhir bola sepak lelaki Sukma Selangor 2026 di Stadium MBPJ. Foto Bernama

Bersambung babak kedua, sepakan percuma Arayyan pada minit ke-52 hampir meletakkan Johor kembali di depan, namun percubaannya yang menjunam terkena tiang sebelum bola keluar.

Aksi semakin tegang memasuki 10 minit terakhir dengan beberapa terjahan keras mewarnai permainan ketika kedua-dua pasukan terus memburu gol kemenangan, namun keputusan 1-1 kekal sehingga tamat 90 minit, sekali gus memaksa perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.

Kedua-dua pasukan masih gagal memecah kebuntuan sepanjang masa tambahan, sekali gus memaksa pemenang ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Kemenangan itu menyaksikan Johor muncul juara bola sepak lelaki SUKMA buat kali pertama, sekali gus menggagalkan misi Selangor menamatkan penantian 28 tahun sejak kali terakhir memenangi pingat emas pada edisi 1998.

Sementara itu, Perak meraih pingat gangsa selepas menewaskan Pahang 4-0 pada aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam. – Bernama

 

 

 



Source link

OR

Scroll to Top