Sekatan FIFA tutup kebangkitan KRW FC

Sekatan FIFA tutup kebangkitan KRW FC


KOTA BHARU: Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) terpaksa menerima hakikat pasukan itu memerlukan lebih ramai pemain berkualiti selepas dibelasah Selangor FC 1-4 pada aksi pembukaan Liga Super musim ini di sini, kelmarin.

Ketua jurulatih KRW FC, Irfan Bakti Abu Salim berkata, realitinya KRW FC tidak akan mampu mengharungi saingan liga bola sepak utama negara dengan barisan pemain sedia ada.

Menurutnya, semua pihak terpaksa menerima hakikat hanya itu barisan pemain yang ada apabila kelab itu masih berdepan sekatan perpindahan pemain oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Mahu atau tidak, itu sahaja pemain yang kita ada. Sebanyak 17 pemain dan dua penjaga gol. Malah separuh daripada pemain kita dipanggil pada saat akhir selepas mereka digugurkan sebab kita tidak boleh daftar pemain baharu.

“Jadi saya terpaksa minta jasa baik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam soal ini. Kalau tidak tak padan kita nak main Liga Super,” katanya ketika ditemui selepas Perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Beliau memberitahu, mengikut perancangan asal, beliau mahukan sekurang-kurangnya lima pemain import terdiri daripada seorang tonggak pertahanan, dua pemain tengah, seorang penyerang dan seorang penyerang gantian.

Katanya, beliau sebenarnya sudah mengenal pasti beberapa pemain yang diuji di Kuala Lumpur, termasuk dari Iran, Hong Kong dan Jepun tetapi kesemuanya tidak dapat didaftarkan.

“Paling utama kita memerlukan penyerang kerana ketiadaan penyerang dalam pasukan ini dan daripada semua pemain yang diuji, ada sudah terlepas ke pasukan lain dan ada juga masih menunggu peluang.

“Kita juga terlepas beberapa pemain tempatan yang sepatutnya diambil akibat kelewatan proses pendaftaran pemain. Mereka sepatutnya melengkapkan separuh daripada barisan pemain pasukan ini,” katanya.

Irfan Bakti berharap, isu sekatan perpindahan pemain yang menyebabkan KRW FC tidak dapat mendaftarkan pemain baharu ini tidak berlarutan lama dan dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Saya harap situasi ini tidak melarat sehingga ke lima atau enam perlawanan dan harap kita tidak kena sehingga 14-1 sepertimana berlaku kepada sebuah pasukan dari Kelantan pada musim lalu.

“Saya tahu pihak pengurusan kelab berhempas pulas untuk menyelesaikan masalah ini dan sentiasa berhubung dengan FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Harap ia dapat diselesaikan seberapa segera,” ujarnya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top