Isu roboh kuil: DAPSY Perlis gesa kerajaan negeri, PBT beri penjelasan telus


am@hmetro.com.my

Kangar: Kerajaan Perlis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa tampil memberikan penjelasan yang sewajarnya berhubung insiden perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi di sini, pada 20 Ogos lalu.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Perlis, Danial Suhaimi berkata, pencerahan secara terperinci mencakupi status tanah, kelulusan, notis pengosongan serta proses penguatkuasaan perlu didedahkan kepada umum.

Katanya, ketelusan amat penting bagi memastikan masyarakat mendapat gambaran yang tepat berhubung isu itu dan tidak hanya bergantung kepada spekulasi atau maklumat tidak disahkan.

“Dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, setiap pihak perlu menghormati proses dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Pada masa sama, penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan secara adil, telus, konsisten dan tanpa diskriminasi, tanpa mengira latar belakang kaum atau agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Danial berkata, sekiranya wujud isu berbangkit membabitkan status tanah, kelulusan pembinaan atau ketidakpatuhan syarat, perkara itu perlu ditangani melalui saluran pentadbiran dan undang-undang yang tepat.

Katanya, ruang harus diberikan kepada pihak berkepentingan untuk mendapatkan penjelasan serta menyelesaikan kemelut itu secara baik.

Beliau turut memberi amaran dan menyeru semua pihak agar tidak mengambil kesempatan menjadikan isu berkenaan sebagai medium untuk mengapi-apikan sentimen kaum dan agama.

“Apa jua perbezaan pandangan perlu disuarakan secara matang, bertanggungjawab dan berada di dalam kerangka undang-undang.

“Kita mungkin berbeza dari segi agama, kaum dan pandangan politik, namun kita berkongsi satu negeri dan satu tanggungjawab untuk memastikan keamanan, keharmonian serta perpaduan masyarakat Perlis terus terpelihara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top