Malaysia, Indonesia lipat ganda usaha tangani isu jerebu sebelum Hari Kebangsaaan -Arthur

Malaysia, Indonesia lipat ganda usaha tangani isu jerebu sebelum Hari Kebangsaaan -Arthur


Malaysia dan Indonesia bersetuju melipatgandakan tindakan pencegahan serta pemadaman awal bagi menangani isu jerebu rentas sempadan, khususnya menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Lipat ganda usaha tangani jerebu

Menerusi kenyataan dikongsi di media sosial, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata perkara itu dibincangkan bersama Menteri Lingkungan Hidup Indonesia, Jumhur Hidayat menerusi panggilan telefon hari ini.

“Memandangkan fenomena El Nino dijangka semakin menguat menjelang Oktober 2026 serentak dengan Monsun Barat Daya, kedua-dua negara komited untuk melipatgandakan tindakan pencegahan dan pemadaman awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum sambutan Hari Kebangsaan & Hari Malaysia

Sambutan Hari Kebangsaan 2026 akan diadakan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini, manakala sambutan Hari Malaysia berlangsung di Kuching, Sarawak pada 16 September.

Dalam pada itu, Arthur merakamkan penghargaan kepada Indonesia kerana memberikan kebenaran rasmi untuk merentasi ruang udara republik itu bagi melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Beliau berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sedang merangka jadual operasi untuk diselaraskan bersama Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Selain itu, Malaysia bersedia membantu usaha pemadaman segera kebakaran sekiranya diperlukan Indonesia pada bila-bila masa, selaras semangat kejiranan dan solidariti ASEAN.

“Malaysia menghargai dan menyokong tindakan pantas Kerajaan Republik Indonesia di bawah kepimpinan Presiden Prabowo yang melipatgandakan usaha pemadaman kebakaran hutan dan tanah (karhutla).
“Ini termasuk penambahan 1,500 anggota Tentera Nasional Indonesia, penggunaan helikopter berkapasiti besar bagi kaedah water bombing serta pelaksanaan operasi modifikasi cuaca secara agresif di lapangan,” katanya.

Arthur berkata kementeriannya akan terus memantau pergerakan titik panas dan kualiti udara menerusi Jabatan Alam Sekitar serta MetMalaysia, selain mengekalkan hubungan rapat dengan pihak berkuasa Indonesia.

Setakat 10 pagi ini, sebanyak 10 kawasan di empat negeri merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, dengan Serian, Sarawak mencatatkan bacaan tertinggi dan hampir mencecah kategori sangat tidak sihat.

Sumber: Facebook Arthur Joseph Kurup





Source link

OR

Scroll to Top