BEREGU badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memberi kepercayaan kepada barisan kejurulatihan dalam menentukan hala tuju gandingan mereka, namun tidak menolak kemungkinan bergerak secara profesional jika itu menjadi pilihan terbaik untuk karier mereka.
Keutamaan mereka ialah mahu terus bersama memburu pingat emas Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), namun tetap memahami keputusan akhir perlu mengambil kira perancangan jurulatih serta perkembangan setiap pemain apabila mereka sekali lagi akan dipisahkan untuk diuji bersama pasangan lain sehingga akhir tahun ini.
Wooi Yik berkata, mereka akan berbincang dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan barisan kejurulatihan sebelum menentukan langkah seterusnya dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Setakat ini kita tengok dulu rancangan dengan BAM dan jurulatih. Sudah tentu saya dan Aaron harap kami boleh kekal, tetapi kalau rancangan itu tidak sehaluan, kita akan bincang lagi bagaimana.
“Secara peribadi, karier saya tidak panjang lagi, jadi saya perlu mempertimbangkan pilihan yang ada dan membuat keputusan sekiranya berlaku sebarang perubahan.
“Saya perlu berbincang lebih lanjut dengan jurulatih mengenai hala tuju masa depan kami. Saya masih mempunyai tempoh dua tahun lagi, jadi apabila tiba masanya nanti, saya akan membuat keputusan yang saya rasakan terbaik,” katanya ketika ditemui selepas tiba dari New Delhi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa.
Masa depan gandingan nombor empat dunia itu mula menjadi perhatian selepas barisan kejurulatihan diketuai, Herry Iman Pierngadi melakukan rombakan pasangan sejak bulan lalu, namun prestasi mereka di Kejohanan Dunia di New Delhi memberi gambaran bahawa keserasian mereka masih belum pudar.
Aaron-Wooi Yik muncul naib juara selepas tewas kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam aksi final pada Ahad, sekali gus membuktikan mereka masih mampu memberikan saingan di pentas tertinggi.
Aaron berkata, mereka tetap menghormati keputusan jurulatih dan bersedia meneruskan eksperimen pertukaran pasangan, termasuk di Masters China di Shenzhen dari 1 hingga 6 September sebelum mengharungi siri kejohanan Eropah.
“Kalau ikut perancangan jurulatih, di Shenzhen dan Eropah nanti kami akan tukar lagi dengan pasangan lain. Tetapi kami akan terus berbincang dengan jurulatih dan tengok bagaimana hala tuju seterusnya.
“Saya rasa pasangan asal mungkin lebih kuat kerana sudah lama bersama, tetapi mungkin jurulatih mahu melihat bagaimana kemampuan setiap pemain apabila digandingkan dengan pasangan lain,” katanya.
Dalam masa sama, Aaron berharap sekiranya penilaian jurulatih akhirnya memihak kepada gandingan asal, mereka dapat meneruskan usaha bersama untuk merealisasikan impian terbesar dalam karier.
“Kalau perancangan akhir jurulatih adalah mengekalkan semua pasangan asal untuk berjuang ke Olimpik, saya rasa tiada masalah.
“Bagi karier kami, Olimpik memang sasaran besar dan kami berharap dapat capai pingat emas dalam karier kami.
“Buat masa ini kami ikut dahulu perancangan jurulatih, fokus memperbaiki diri dan bekerja lebih keras kerana banyak lagi kejohanan yang perlu diharungi,” katanya.
