SUKMA medan lahir atlet ke pentas dunia – Amirudin

SUKMA medan lahir atlet ke pentas dunia – Amirudin


SUKAN Malaysia (SUKMA) perlu dilihat lebih jauh daripada sekadar persaingan memburu pingat kerana temasya itu menjadi landasan penting dalam membentuk barisan atlet yang mampu mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, SUKMA berperanan sebagai medan mencungkil dan menggilap bakat baharu sebelum mereka melangkah ke kejohanan lebih besar seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Paralimpik.

Menurut beliau, pencapaian seseorang atlet dalam SUKMA tidak seharusnya dijadikan ukuran mutlak terhadap potensi masa depan mereka, sebaliknya masih banyak ruang untuk memperbaiki prestasi dan mencapai tahap lebih tinggi.

“Ini kerana SUKMA merupakan pentas untuk kita melahirkan atlet yang mampu mewakili negara di pentas antarabangsa seperti Olimpik, Sukan Asia dan Paralimpik.

“Setiap individu mempunyai ruang untuk meningkatkan lagi prestasi dan melihat peluang serta ruang untuk beraksi di pentas antarabangsa kelak,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup SUKMA Selangor 2026 di Aneka Walk, Shah Alam.

Amirudin pada masa sama menyeru atlet yang belum memperoleh pingat supaya tidak melihat kegagalan di temasya kali ini sebagai noktah kepada perjalanan mereka dalam bidang sukan.

Sebaliknya, beliau berkata, segala pengorbanan dari segi masa, tenaga dan keselesaan ketika menjalani latihan perlu menjadi pencetus untuk mereka kembali dengan semangat serta usaha yang lebih tinggi.

“Kekalahan bukan pengakhiran. Itulah hikmah di sebalik setiap penyertaan atlet yang selaras dengan perjalanan kehidupan.

“Apabila seseorang itu jatuh dan kalah sekali, tidak bermakna orang itu jatuh dan kalah setiap kali dalam hidup,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan atlet yang berjaya meraih pingat supaya tidak terlalu selesa dengan pencapaian yang diraih kerana kejayaan dalam satu temasya belum tentu menjamin kemenangan pada pertandingan seterusnya.

Beliau berkata, kesinambungan prestasi memerlukan disiplin, kerja keras dan kesungguhan berterusan bagi memastikan atlet mampu berkembang ke tahap lebih tinggi.

SUKMA 2026 melabuhkan tirai malam tadi dengan Selangor muncul juara keseluruhan selepas menguasai saingan di laman sendiri.

Kontinjen Merah Kuning mengumpul 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa untuk keseluruhan 245 pingat, sekali gus melepasi sasaran awal 80 pingat emas yang ditetapkan.



Source link

OR

Scroll to Top