Ismail Sabri tiba hadapi pertuduhan SPRM


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang tiba pada pukul 8.32 pagi itu disambut lebih 100 penyokong dan pengamal media yang sudah berkumpul di perkarangan mahkamah.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes terhadap Ismail Sabri akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin pada 9 pagi.

Ahli Parlimen Bera itu akan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 berhubung pengisytiharan harta.

Ismail Sabri sepatutnya didakwa di mahkamah pada 7 Ogos lepas, namun prosiding ditangguhkan ke 27 Ogos selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah kesihatan.

Mahkamah kemudian menangguhkan pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan ke tarikh hari ini selepas peguam Datuk Amer Hamzah Arshad memohon penangguhan berikutan Ismail Sabri mengalami kemungkinan degupan jantung tidak sekata (possible arrhythmia) dan dijadualkan menjalani prosedur pemasangan perentak jantung (pacemaker procedure).

Amer Hamzah berkata, anak guamnya mengalami masalah jantung ketika rakaman percakapan dengan SPRM pada 6 Ogos.

Sebelum ini, beliau dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuatnya kepada SPRM.

SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram (kg) jongkong emas tulen dianggarkan bernilai RM7 juta berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.

Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat dipercayai dijadikan rumah selama hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top