Fazley jatuh hati! Dedah sisi DSV sopan, titikberatkan solat sunat, zikir & baca al-Quran setiap hari


Penyanyi, Datuk Fazley Yaakob mendedahkan sisi peribadi Datuk Seri Vida (DSV) yang jarang dilihat umum menjadi antara sebab dirinya jatuh hati terhadap usahawan berkenaan.

Fazley berkata, di sebalik imej DSV yang kelihatan bingit dan sering menjadi perhatian di hadapan kamera, wanita itu sebenarnya seorang yang tenang, sopan santun serta sangat menitikberatkan soal agama.

“Individu yang saya jatuh hati ialah seorang yang sangat tenang, sopan santun dan mementingkan agama.
“Di belakang kamera, dia sangat menitikberatkan solat sunat, berzikir dan membaca al-Quran setiap hari.
“Meskipun orang luar sering mengkritik soal solekan tebal, bagi saya, itu hanyalah ‘persona’ untuk kerjayanya.
“Di mata saya, dia adalah wanita yang sangat merendah diri dan hebat pegangan agamanya. Itulah yang membuatkan saya yakin dia mampu menjadi teman hidup hingga ke syurga,” katanya, semalam.

Kredit Foto: BEHATI

Dalam perkembangan sama, Fazley berkata beliau dan DSV masih belum menetapkan tarikh pernikahan, sebaliknya mahu memberi ruang kepada ‘adik-adik’ mereka, Bella Astillah dan Syed Saddiq, untuk melangkah ke alam perkahwinan terlebih dahulu.

Menurutnya, hubungan mereka membabitkan penyatuan dua keluarga, iaitu seorang duda dan seorang janda, sekali gus memerlukan perancangan serta penelitian rapi terutama membabitkan anak-anak.

“Ramai yang bertanya bila kami akan bernikah. Perlu difahami, ini adalah penyatuan dua keluarga, iaitu seorang duda dan seorang janda.
“Ia memerlukan proses asimilasi selain memastikan semua dokumentasi dan persiapan dilakukan dengan sempurna.
“Buat masa ini, saya mahu memberi laluan dan ruang kepada ‘adik-adik’ saya, Syed Saddiq dan Bella Astillah, untuk menyelesaikan urusan mereka terlebih dahulu. Insya-Allah, doakan selepas itu mungkin giliran abang dengan ‘kakak’ pula,” katanya.

Kredit Foto: IG Dato Seri Vida

Dalam pada itu, DSV secara berseloroh memberi bayangan bahawa majlis perkahwinan mereka kelak bakal menjadi ‘Wedding of the Century’ atau Perkahwinan Abad Ini.

Fazley pada masa sama menepis dakwaan segelintir netizen yang menuduh dirinya mendekati DSV kerana kepentingan harta.

Menurutnya, dia mempunyai latar belakang keluarga yang kukuh selain kerjaya dalam bidang korporat, termasuk memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam kelompok perniagaan makanan milik DSV.

“Siapa kata saya tidak mempunyai duit? Kalau melihat latar belakang keluarga, Alhamdulillah, cukup segalanya.
“Penyatuan kami bukan soal wang, tetapi penyatuan dua jenama dan empayar perniagaan. Jadi, mustahil timbul tuduhan saya tidak bekerja.
“Saya mempunyai kerjaya sendiri, bekerja dalam bidang korporat dan memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam kelompok perniagaan makanan DSV. Kami komited untuk bekerja bersama-sama,”jelas pelatun lagu Asmara Ini.

Sumber: Utusan Online (Wafa Aulia)





Source link

OR

Scroll to Top